X

Kindly register in order to view this article
!

Ramai prihatin dengan abang Foodpanda

Seorang kakitangan Olive House (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan secara pandu lalu kepada penghantar makanan Foodpanda di sekitar daerah ini di sini hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Penghantar makanan Foodpanda di daerah ini bersyukur kerana ramai pihak termasuk pelanggan prihatin dengan nasib mereka yang mencari rezeki dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hafiz Mubarak Mohamad Nasir,34, berkata, ramai pihak yang menyumbangkan barang keperluan dan juga makanan sebagai tanda menghargai perkhidmatan mereka.

Katanya, lebih terharu apabila terdapat pelanggan yang menyerahkan sendiri barangan sumbangan kepada mereka setelah selesai penghantaran dibuat.

"Bila kami hantar pesanan tu, ada pelanggan yang bagi makanan, topeng muka, cecair pembasmi kuman dan pelbagai barangan lagi.

"Memang ramai yang prihatin dan saya juga rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada syarikat Olive House hari ini kerana turut menyampaikan barangan keperluan kepada kami semua," katanya ketika ditemui pada program penyampaian sumbangan kepada penghantar makanan Foodpanda di hadapan Ibu Pejabat Olive House di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun terpaksa bekerja dalam tempoh PKP, mereka tetap mengambil berat aspek kebersihan dan keselamatan diri.

"Kami akan sentiasa memakai topeng muka, sarung tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

"Selain itu kami juga mengelakkan bersentuhan dengan pelanggan. Selalunya makanan yang dihantar akan ditinggalkan di hadapan pintu rumah sebelum pelanggan datang mengambilnya," katanya.

Bagi Mohd Nazrin Mohd Nasir, 21, dia bersyukur kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan sepanjang PKP.

"Cuma disebabkan banyak jalan ditutup, jadi kami terpaksa menggunakan jalan yang agak jauh untuk sampai ke lokasi pelanggan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Perundangan dan Hal Ehwal Korporat Olive House, Norul Fitri Hamdan berkata, penghantar makanan juga dianggap sebagai unsung hero dalam tempoh PKP kerana sanggup berhadapan risiko untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

"Oleh itu sebagai penghargaan kepada mereka kami menyampaikan sedikit sumbangan barang keperluan seperti tepung, bihun dan lain-lain kepada 40 orang penghantar makanan di sekitar daerah ini.

"Mungkin sumbangan ini tidak begitu besar nilainya, tetapi sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka sekeluarga," katanya


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!