2,000 pemilik 4WD bakal berhimpun, promosi industri automatif tempatan

Program itu dijangka menghimpunkan lebih 2,000 pemilik kenderaan 4WD dengan anggaran kehadiran 5,000 pengunjung.
Program itu dijangka menghimpunkan lebih 2,000 pemilik kenderaan 4WD dengan anggaran kehadiran 5,000 pengunjung.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Komuniti pemilik kenderaan pacuan empat roda (4WD) dari seluruh negara dijangka berhimpun dalam acara berskala besar menerusi penganjuran Event Truck Fighter & Meet Show 2.0 di MAEPS, Serdang pada 20 Jun depan.

Program anjuran Zaki GM Garage Sdn Bhd itu dijangka menghimpunkan lebih 2,000 pemilik kenderaan 4WD dengan anggaran kehadiran 5,000 pengunjung terdiri daripada peminat kenderaan pacuan empat roda, usahawan bengkel, penggiat industri automotif serta komuniti sukarelawan pacuan empat roda dari seluruh Malaysia.

Penganjur dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan penganjuran acara tersebut bertujuan memperkukuh solidariti komuniti pemilik 4WD yang sering memainkan peranan penting sebagai pasukan sukarelawan barisan hadapan ketika berlakunya bencana alam, khususnya dalam operasi menyelamat dan bantuan banjir di seluruh negara.

“Program berkenaan turut menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim serta membina jaringan kerjasama antara usahawan bengkel 4x4 di Selangor dan negeri-negeri lain, sekali gus memberi impak positif kepada perkembangan ekonomi industri automotif, khususnya sektor kenderaan pacuan empat roda.

“Acara ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan penganjuran edisi pertama yang berlangsung pada Mei tahun lalu di perkarangan Stadium Shah Alam,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, program ini bakal disertai beberapa organisasi komuniti 4WD dari Thailand dan Singapura, sekali gus menjadikannya sebagai platform pertemuan komuniti serantau selain mempromosikan industri automotif tempatan.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran kenderaan 4x4, pertandingan autoshow dengan 21 kategori, aktiviti 'off-road', gerai jualan, pameran industri serta cabutan bertuah.

Bagi menambah tarikan, pihak penganjur menawarkan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kenderaan Isuzu D-Max selain pelbagai hadiah sampingan menarik kepada para peserta.

“Penganjuran kali ini diharap mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti pemilik dan peminat 4WD di Malaysia, sekali gus memperkukuh peranan komuniti tersebut sebagai rakan strategik dalam membantu masyarakat ketika berhadapan situasi kecemasan dan bencana alam,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Komuniti pemilik kenderaan 4WD dari seluruh negara akan berhimpun di MAEPS, Serdang pada 20 Jun untuk Event Truck Fighter & Meet Show 2.0
  • Lebih 2,000 pemilik kenderaan 4WD dan anggaran 5,000 pengunjung akan menghadiri, termasuk peminat 4x4, usahawan bengkel, dan penggiat industri automotif
  • Acara ini bertujuan memperkuat solidariti komuniti 4WD yang penting dalam bantuan bencana alam dan mempererat silaturahim di kalangan usahawan bengkel
  • Akan turut disertai oleh beberapa organisasi komuniti 4WD dari Thailand dan Singapura, menjadikan platform pertemuan komuniti serantau
  • Pelbagai aktiviti disediakan termasuk pameran kenderaan 4x4, pertandingan autoshow, aktiviti 'off-road' dan cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah kenderaan Isuzu D-Max

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!