Janji Zuraini selepas sembuh

Kira-kira 30 pesakit kanser disantuni dan dibantu oleh CSM pada setiap bulan.
Kira-kira 30 pesakit kanser disantuni dan dibantu oleh CSM pada setiap bulan.
A
A
A

ALOR SETAR – Pengalaman didiagnosis kanser yang pernah meruntun jiwa menjadi titik perubahan besar buat seorang wanita apabila kini tampil membantu ribuan pesakit kanser di seluruh negara sejak 13 tahun lalu.

Pengasas Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, beliau disahkan menghidap kanser dinding rahim pada tahun 2012 ketika berusia 43 tahun.

Menurutnya, detik menerima berita itu adalah saat paling gelap dalam hidupnya apabila doktor memaklumkan penyakit yang dihidap antara yang agresif.

“Waktu itu saya hanya fikir mati. Pelbagai perkara bermain di fikiran dan saya rasa kematian semakin hampir.

“Saya jalani rawatan seperti yang disarankan doktor dan setiap hari bangun tahajud memohon kesembuhan. Dalam doa saya, jika ALLAH SWT sembuhkan penyakit ini, saya akan bantu pesakit lain,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Zuraini (kiri) menyantuni seorang pesakit kanser kanak-kanak.
Zuraini (kiri) menyantuni seorang pesakit kanser kanak-kanak.

Selepas disahkan bebas kanser, Zuraini menunaikan janjinya dengan menubuhkan CSM pada tahun sama bagi membantu pesakit kanser yang memerlukan sokongan moral dan kewangan.

Katanya, pada peringkat awal hanya beberapa sukarelawan bersamanya menziarahi pesakit di hospital serta di kampung sekitar Kedah.

Artikel Berkaitan:

“Bermula secara kecil-kecilan di Kedah, kini CSM berkembang ke Perlis, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur.

“Setiap bulan kami membantu lebih 30 pesakit dengan menyalurkan bantuan wang tunai, susu formula khas, pakaian dalam untuk pesakit kanser payu dara, beg stoma dan katil hospital,” ujarnya.

CSM bakal menubuhkan Rumah Komuniti Kanser pertama di Alor Setar, Kedah yang dijangka beroperasi selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
CSM bakal menubuhkan Rumah Komuniti Kanser pertama di Alor Setar, Kedah yang dijangka beroperasi selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya, bagi pesakit kanak-kanak, keluarga sering berdepan kesukaran menampung kos perjalanan berulang-alik ke hospital termasuk Hospital Sultanah Maliha Langkawi, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pulau Pinang.

Sehubungan itu, pihaknya mewujudkan Program Sedekah Jumaat bagi membantu keluarga pesakit secara terus.

Zuraini berkata, ketika turun ke kawasan kampung, beliau mendapati masih ramai pesakit kurang pendedahan mengenai kanser dan ada yang bergantung kepada rawatan alternatif tanpa nasihat pakar.

“Kami beri penerangan supaya mereka terus menjalani rawatan di hospital kerana kebanyakan pesakit sebenarnya mempunyai peluang untuk sembuh.

“Ada juga pesakit terpaksa berhenti kerja kerana kerap bercuti untuk rawatan sehingga menjejaskan kewangan keluarga,” katanya lagi.

Zuraini (kanan) turun padang membantu pesakit kanser yang memerlukan sokongan moral dan kewangan.
Zuraini (kanan) turun padang membantu pesakit kanser yang memerlukan sokongan moral dan kewangan.

Beliau berkata, semua dana CSM disalurkan hasil sumbangan orang awam, kenalan dan bekas pesakit kanser yang ingin berinfaq.

Dalam perkembangan terbaharu, CSM bakal menubuhkan Rumah Komuniti Kanser pertama di Alor Setar, Kedah yang dijangka beroperasi selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Katanya, rumah berkenaan akan menjadi pusat sokongan untuk pesakit berkongsi masalah, mendapatkan khidmat nasihat serta mengikuti program bimbingan dan kumpulan sokongan emosi.

“Kos pengubahsuaian membabitkan RM250,000 dan kini dalam pembinaan sejak 10 Disember lalu.

“Semua pesakit kanser dari mana-mana negeri boleh datang mendapatkan khidmat nasihat daripada sukarelawan atau saya sendiri,” jelas beliau.

Selain itu, CSM turut menganjurkan Program Wacana CSM dua kali setahun di Alor Setar untuk warga utara dan di Bangi, Selangor bagi mereka di kawasan selatan.

Zuraini juga aktif berkongsi pengalaman dan motivasi kepada pesakit kanser melalui siaran langsung di media sosial.

Menurutnya, melihat pesakit yang pernah dibantu kini kembali sihat dan bebas kanser menjadi kekuatan untuk beliau terus istiqamah membantu mereka yang sedang berjuang.

“Saya harap pesakit tidak lagi bimbang apabila didiagnosis kanser kerana penyakit ini boleh dirawat dengan sokongan dan dorongan semua pihak,” katanya.

INFO

Cancer Survivors Malaysia (CSM)

- Diasaskan oleh Zuraini Kamal pada 2012.

- Bermula secara kecil-kecilan di Kedah.

- Kini aktif di Perlis, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur.

- Membantu lebih 30 pesakit setiap bulan.

- Salur bantuan seperti wang tunai, susu formula khas, beg stoma dan katil hospital.

Ringkasan AI

  • Zuraini Kamal pengasas Cancer Survivors Malaysia (CSM) disahkan menghidap kanser dinding rahim pada 2012
  • Selepas sembuh, beliau menubuhkan CSM untuk membantu pesakit kanser dengan sokongan moral dan kewangan
  • CSM kini berkembang di beberapa negeri dan membantu lebih 30 pesakit kanser setiap bulan
  • Organisasi ini menyediakan bantuan seperti wang tunai, susu formula, dan katil hospital
  • CSM juga mewujudkan Rumah Komuniti Kanser pertama di Alor Setar, Kedah untuk sokongan dan nasihat kepada pesakit kanser

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!