12 beranak terputus bekalan makanan dibantu

Kok Yew menyerahkan bantuan keperluan asas kepada anak Solehah, Syazwan Mt Suri, 17, ketika ditemui di rumah mereka di Taman Nuri di sini hari ini.
Kok Yew menyerahkan bantuan keperluan asas kepada anak Solehah, Syazwan Mt Suri, 17, ketika ditemui di rumah mereka di Taman Nuri di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah keluarga dari Taman Nuri di sini terputus bekalan makanan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menzahirkan rasa syukur atas sumbangan rakyat Malaysia yang membantu mereka.

Peniaga, Solehah Saidin, 43 berkata, dia 12 beranak berterima kasih atas keprihatinan semua pihak yang menghulurkan bantuan selepas kisah mereka sekeluarga terputus bekalan makanan tular di media sosial.

Menurutnya, dia dan suami, Mt Suri Awang Isa, 47, tidak dapat berniaga mainan di pasar-pasar sekitar Alor Setar dan Arau sejak 17 Mac lepas selepas PKP dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19.

"Ketika buntu memikirkan terputus bekalan makanan, saya ada melihat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) meminta maklumat orang awam yang memerlukan bantuan di laman sosial.

"Saya terus menghubungi beliau dan menceritakan kisah keluarga kami 12 beranak, namun tidak sangka ia menjadi tular di laman sosial sejak tiga hari lepas," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Katanya, dia yang memiliki 10 anak berusia antara setahun lapan bulan hingga 23 tahun terputus bekalan makanan berikutan tidak memiliki pendapatan akibat tidak boleh berniaga, selain tidak memiliki simpanan ketika waktu kecemasan.

"Alhamdulillah, boleh dikatakan bekalan barangan keperluan asas untuk meneruskan hidup sepanjang PKP mencukupi melalui sumbangan pelbagai pihak selepas tular di media sosial.

"Kalau diikutkan, memang malu apabila menjadi tular secara tiba-tiba dan tanpa disangka, namun kami anak beranak bersyukur apabila menerima bantuan tanpa henti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, nasib keluarga Solehah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Tan Kok Yew yang turun padang menyalurkan sumbangan kali ketiga.

Kok Yew berkata, bantuan barangan keperluan asas seperti beras dan bihun diharapkan dapat membantu meringankan beban keluarga berkenaan ketika tempoh PKP ini.

"Selain itu, kita juga ada memberi bantuan ikan segar dan sayur mengikut giliran kawasan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Kok Yew yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah berkata, pihaknya telah mengedarkan bantuan bekalan asas kepada penduduk di Derga sejak 22 Mac lepas.

"Kita menghantar bekalan keperluan kepada penduduk terjejas di beberapa kawasan seperti Flat Setia Jaya, Flat Alor Malai, Kampung Borhan dan kawasan sekitarnya semalam," katanya.

Beliau turut berharap pemimpin setempat dan persatuan penduduk dapat menyalurkan maklumat penduduk yang terkesan dalam tempoh PKP ini untuk menerima bantuan keperluan harian.