MSUMC tawar ujian Covid-19 pandu lalu

Ujian pemeriksaan Covid-19 secara pandu lalu ditawarkan MSUMC kepada orang ramai sebagai inisiatif menyokong KKM dalam menangani pandemik itu.
Ujian pemeriksaan Covid-19 secara pandu lalu ditawarkan MSUMC kepada orang ramai sebagai inisiatif menyokong KKM dalam menangani pandemik itu.
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Pusat Perubatan MSU (MSUMC) menawarkan ujian pemeriksaan koronavirus (Covid-19) secara pandu lalu kepada orang ramai sebagai inisiatif menyokong Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani pandemik itu.

Menerusi satu kenyataan, MSUMC memaklumkan orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan itu, sama ada secara temu janji atau menghadirkan diri ke stesen ujian tersebut di MSUMC.

“Antara isu utama yang menyebabkan penularan wabak adalah jangka masa diambil untuk mengesan individu yang positif Covid-19. MSUMC mengambil inisiatif menyokong KKM menangani pandemik dengan melancarkan perkhidmatan ini.

“Ujian pemeriksaan pandu lalu Covid-19 di MSUMC hanya akan mengambil masa kira-kira lima minit di mana setiap pemeriksaan menggunakan kaedah tindak balas rantai polimer transkripsi (RT-PCR),” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, temu janji boleh dilakukan dengan menghubungi talian 03-55216701 pada waktu pejabat atau melalui aplikasi WhatsApp di nombor 03-55262800.

“Ujian berkenaan ditawarkan dalam tiga sesi dari Isnin hingga Jumaat iaitu dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari; 12 tengah hari hingga 2 petang dan 2 petang hingga 4 petang. Perkhidmatan itu juga dibuka kepada orang ramai pada hari Sabtu iaitu dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

“Mereka yang menjalani ujian tersebut mesti dikuarantin sehingga keputusan ujian diperoleh dalam tempoh 24 sehingga 48 jam serta keputusan akan dimaklumkan melalui panggilan telefon atau aplikasi WhatsApp,” menurut kenyataan itu.

MSUMC turut memaklumkan pihak itu berusaha untuk menambah baik proses pengesanan, pengasingan atau kuarantin dan rawatan susulan bagi mengawal penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan masyarakat khasnya di Lembah Klang.

Artikel Berkaitan:

Penularan pandemik Covid-19 di Malaysia khususnya dan dunia amnya menyaksikan peningkatan kes pesakit yang dikesan positif wabak tersebut serta membawa kepada kehilangan nyawa.

Wabak yang mula merebak di Hubei, Wilayah Wuhan pada Januari lalu itu telah menyerang kira-kira 175 negara di seluruh dunia.