Pesta Pelita Raya kembali meriahkan suasana Aidilfitri di Pahang

Kemeriahan suasana Pesta Pelita Raya Pahang 2026 di Taman Kenangan, Temerloh. Foto Tourism Pahang
Kemeriahan suasana Pesta Pelita Raya Pahang 2026 di Taman Kenangan, Temerloh. Foto Tourism Pahang
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang melalui Tourism Pahang meneruskan Pesta Pelita Raya sempena Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang kini memasuki tahun kedua penganjurannya.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man berkata, program itu dianjurkan bagi menyemarakkan semangat persaudaraan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Pahang.

Menurutnya, program yang berlangsung bermula 2 hingga 21 Mac ini melibatkan 11 daerah dan 19 kluster homestay di seluruh negeri Pahang melalui penganjuran pertandingan dekorasi Aidilfitri.

"Inisiatif ini bukan sahaja memeriahkan suasana perayaan, malah menjadi platform mengukuhkan perpaduan komuniti serta menarik minat pelancong untuk merasai keunikan tradisi hari raya di negeri ini.

"Setiap daerah dan homestay menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan memasang pelita kreatif, persembahan kebudayaan setempat, jualan makanan dan produk tempatan yang mencerminkan identiti tersendiri setiap daerah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Yu Man (kiri) ketika hadir semasa penjurian Pesta Pelita Raya Pahang 2026 di Taman Awam Bera, baru-baru ini. Foto Tourism Pahang
Yu Man (kiri) ketika hadir semasa penjurian Pesta Pelita Raya Pahang 2026 di Taman Awam Bera, baru-baru ini. Foto Tourism Pahang

Yu Man berkata, cahaya pelita yang menghiasi kampung dan kawasan tumpuan pelancong dijangka memberi pengalaman baharu kepada pengunjung, sekali gus memperkukuh kedudukan Pahang sebagai destinasi pelancongan utama negara.

Katanya, sepanjang tempoh pertandingan, elemen penilaian merangkumi kreativiti, inovasi, keserasian tema, pencahayaan, keaslian serta tahap penglibatan komuniti setempat.

Artikel Berkaitan:

"Selain menghidupkan suasana Aidilfitri, acara ini berpotensi menjadi produk pelancongan bermusim yang mampu meningkatkan pergerakan pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini.

"Ia juga menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk bersama-sama menceriakan kawasan masing-masing serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti," katanya.

Antara aktiviti menarik disertai pelbagai lapisan masyarakat di salah satu lokasi Pesta Pelita Raya Pahang 2026. Foto Tourism Pahang
Antara aktiviti menarik disertai pelbagai lapisan masyarakat di salah satu lokasi Pesta Pelita Raya Pahang 2026. Foto Tourism Pahang

Beliau berkata, himpunan pelbagai rekaan dekorasi yang kreatif dan penuh inovasi itu menjadikan Pahang lebih menarik sepanjang musim perayaan, sekali gus meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Tambah beliau, Pesta Pelita Raya kali ini turut menggalakkan penggunaan bahan kitar semula serta pematuhan aspek keselamatan dalam kerja-kerja dekorasi.

"Proses penjurian berlangsung hingga 17 Mac ini dan pemenang akan diumumkan selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Melalui inisiatif ini, kerajaan negeri terus komited dalam memperkasa keunikan budaya tempatan serta mengekalkan Pahang sebagai destinasi pilihan utama pelancong, khususnya ketika musim perayaan," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan negeri Pahang meneruskan Pesta Pelita Raya sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri
  • Program ini bertujuan menyemarakkan persaudaraan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Pahang
  • Melibatkan 11 daerah dan 19 kluster homestay di Pahang dengan pertandingan dekorasi Aidilfitri
  • Memberi pengalaman baharu kepada pengunjung dengan cahaya pelita dan pelbagai aktiviti menarik
  • Berpotensi meningkatkan pergerakan pelancong domestik dan antarabangsa ke Pahang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!