'Detektif Lim' dedah realiti pahit bayaran murah artis veteran

Farid Amirul Hisham bergambar selepas hadir pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan sempena Aidilftri Kepada Artis-artis Veteran Tanah Air baru-baru ini. Foto Bernama
Farid Amirul Hisham bergambar selepas hadir pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan sempena Aidilftri Kepada Artis-artis Veteran Tanah Air baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

WATAK Detektif Lim dalam drama bersiri fenomena ‘Gerak Khas’ sememangnya cukup ikonik, namun di sebalik kemasyhuran itu, pelakonnya, Farid Amirul Hisham Wu Abdullah mendedahkan realiti pahit yang terpaksa ditelan segelintir artis veteran dalam industri seni tanah air.

Farid Amirul, 61, mendakwa beliau pernah ditawarkan bayaran yang dianggap "tidak masuk akal", iaitu hanya RM500 bagi tempoh penggambaran selama lima hari yang melibatkan 38 babak.

Katanya, tawaran tersebut diterima sekitar tahun lepas bagi sebuah produksi yang memerlukan beliau menjayakan watak seorang sifu tarian singa dengan penggambaran di Kuala Kangsar, Perak.

"Sarapan dan makan malam disediakan, makan tengah hari tiada. Penginapan pula satu bilik dikongsi empat orang. Apabila saya tanya tentang bayaran, mereka kata hanya RM500 termasuk tol dan minyak,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada artis veteran oleh Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) di sini malam Rabu.

Farid menyifatkan kadar RM500 untuk tempoh tersebut hanya menyamai RM100 sehari, sekali gus menimbulkan persoalan akan nilai yang diletakkan pada pelakon berpengalaman sepertinya.

"Saya bukanlah pelakon besar, bukan macam Zul Ariffin atau Beto Kusyairy, tapi berpada-padalah. RM500 untuk lima hari dengan 38 babak, itu sebenarnya kadar untuk pelakon tambahan,” katanya yang memilih untuk menolak tawaran tersebut bagi menjaga nilai pasaran industri.

Pada masa sama, beliau mengakui landskap industri hiburan kini turut berubah apabila faktor populariti di media sosial sering menjadi antara pertimbangan penerbit dalam memilih pelakon bagi sesuatu produksi, berbanding pendekatan sebelum ini yang lebih menitikberatkan pengalaman dan kebolehan lakonan.

"Saya rasa sekarang ini selera industri mungkin lebih kepada ‘influencer’... maksudnya berapa banyak pengikut di media sosial. Saya pula tidak begitu aktif (sosial media), walaupun ada (akaun)  tapi tak adalah nak buat ‘live’ setiap hari,” ujarnya.

Sementara itu, Farid yang mula dikenali menerusi drama Gerak Khas berkata, beliau sebenarnya tidak pernah terikat secara tetap dengan Skop Productions, sebaliknya bekerja berdasarkan kontrak bagi projek tertentu.

Artikel Berkaitan:

Lebih sedekad sinonim dengan siri 'Gerak Khas', beliau berharap akan diberi peluang membawakan watak lebih mencabar pada masa akan datang bagi mengelakkan diri daripada terus dibelenggu watak stereotaip.

"Selalunya watak yang ditawarkan kepada saya ialah polis atau watak Cina, komunis, Jepun dan sebagainya. Saya sebenarnya suka watak yang lebih mencabar emosi, yang boleh keluarkan lebih banyak nuansa dalam lakonan,” katanya yang turut mempunyai pekerjaan tetap di sebuah syarikat pembekal karpet sejak 2022. - Bernama

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Farid Amirul Hisham Wu Abdullah, terkenal dengan watak Detektif Lim dalam drama Gerak Khas, mendedahkan realiti pahit artis veteran dengan bayaran rendah
  • Beliau pernah ditawarkan bayaran RM500 untuk tempoh penggambaran lima hari melibatkan 38 babak
  • Tawaran itu untuk peranan sifu tarian singa dengan penggambaran di Kuala Kangsar, Perak termasuk sarapan dan makan malam tetapi tiada makan tengah hari dan penginapan dikongsi empat orang
  • Farid menyatakan kadar RM500 adalah tidak mencukupi, menyamai RM100 sehari, dan menolak tawaran tersebut untuk menjaga nilai pasaran industri
  • Beliau juga menyentuh tentang perubahan landskap industri hiburan yang kini lebih mengutamakan populariti media sosial berbanding pengalaman dan kebolehan lakonan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!