Kelantan cadang tubuh jawatankuasa khas nilai semula latihan doktor pelatih - Exco

Laporan Sinar Harian pada Sabtu lalu berhubung kematian seorang doktor pelatih di asrama HSIP, Kuala Krai pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu lalu berhubung kematian seorang doktor pelatih di asrama HSIP, Kuala Krai pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan mencadangkan agar satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi menilai semula sistem latihan doktor pelatih di negara ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, ia bertujuan menambah baik kaedah latihan sedia ada termasuk mengurangkan tekanan dan bebanan terhadap pelatih dalam bidang perubatan.

Menurutnya, sebahagian kaedah latihan yang digunakan ketika ini merupakan amalan lama yang wajar dinilai semula sejajar perubahan zaman serta perkembangan teknologi.

"Kita boleh mempertimbangkan penubuhan satu jawatankuasa untuk menilai semula kaedah latihan sedia ada supaya ia lebih sesuai dengan perkembangan semasa dan generasi sekarang.

"Kita tidak boleh lagi hanya bergantung kepada kaedah lama sedangkan dunia sekarang sudah berubah dengan pendekatan yang lebih moden," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes kematian seorang doktor pelatih di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai yang tular baru-baru ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut berdukacita dengan kejadian itu memandangkan ia melibatkan seorang doktor pelatih yang mempunyai masa depan cerah dalam bidang perubatan.

"Tekanan memang sebahagian daripada proses latihan dalam mana-mana profesion, termasuk perubatan dan undang-undang, namun perlu ada had supaya tidak menjejaskan kesihatan mental pelatih," katanya.

Tambah Hilmi, pada masa sama kerajaan negeri masih menunggu laporan penuh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta hasil siasatan Polis Diraja Malaysia berhubung kes berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya jangka laporan tersebut akan diperoleh dalam minggu ini," katanya.

Ringkasan AI

  • Kelantan mencadangkan pembentukan jawatankuasa khas untuk menilai semula sistem latihan doktor pelatih
  • Jawatankuasa bertujuan untuk mengurangkan tekanan dan memperbaiki kaedah latihan doktor pelatih
  • Kaedah latihan semasa dianggap lama dan perlu disesuaikan dengan perkembangan teknologi dan zaman
  • Penubuhan jawatankuasa ini diusulkan setelah berlakunya kematian seorang doktor pelatih di Hospital Sultan Ismail Petra
  • Kerajaan negeri menunggu laporan penuh daripada KKM dan hasil siasatan polis mengenai kes tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!