Doktor pelatih ditemui maut di asrama hospital

KUALA KRAI - Seorang doktor pelatih ditemukan maut di asrama Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pihak hospital pada jam 9.55 pagi.
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah bersama anggota Balai Polis Kuala Krai telah ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.
"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku di salah sebuah bilik asrama di HSIP.
"Mangsa merupakan seorang doktor pelatih berusia 29 tahun ditemui meninggal dunia di bilik air," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mazlan berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSIP untuk dibedah siasat.
"Punca kematian adalah disebabkan oleh tekanan pada leher dan kes disiasat sebagai laporan mati mengejut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Balai Polis Kuala Krai di talian 09-9666222 bagi membantu siasatan," katanya.
Ringkasan AI
- Doktor pelatih ditemukan maut di asrama Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai pada Jumaat
- Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat, menerima panggilan tentang kejadian itu pada jam 9.55 pagi
- Pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah melakukan siasatan di lokasi kejadian
- Tiada unsur jenayah ditemukan hasil siasatan
- Punca kematian adalah tekanan pada leher, kes disiasat sebagai laporan mati mengejut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

