Majlis berbuka puasa eratkan ukhuwah jiran tetangga Muslim dan bukan Islam

CYBERJAYA – Kejiranan The Mulia Residences di sini menjadikan majlis berbuka puasa sebagai medan terbaik untuk merapatkan hubungan ukhuwah antara satu sama lain.
Dalam majlis iftar perdana yang dianjurkan sempena sambutan Hari Nuzul al-Quran itu baru-baru ini, lebih 350 jiran tetangga hadir memeriahkan lagi majlis.
Menariknya, program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Surau itu turut disertai jiran tetangga bukan Muslim yang mengambil peluang menikmati suasana berbuka puasa bersama.
Pengerusi Surau The Mulia Residences, Nor Effendi Nordin berkata, program tersebut merupakan tahun kedua pihaknya menganjurkan majlis berbuka puasa sedemikian.
“Melihat kepada kejayaan penganjurannya tahun lalu, kami mengambil keputusan untuk meneruskan penganjuran program ini pada tahun ini.
“Alhamdulillah, kesemua persiapan disediakan atas sumbangan penduduk daripada makanan hinggalah kepada persiapan logistik seperti kerusi dan meja,” katanya.
Nor Effendi berkata, majlis berbuka puasa tersebut dimulakan dengan ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah selebriti, Da’i Annas.
Jelasnya lagi, seperti kebiasaannya, sepanjang Ramadan tahun ini pihaknya turut menganjurkan sesi moreh yang ditaja sepenuhnya secara bergilir-gilir oleh penduduk setempat.
“Lebih menarik, ada juga hari tertentu ketika moreh apabila jiran bukan Muslim membantu membuat persiapan ketika jiran beragama Islam masih menunaikan solat tarawih,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Kejiranan The Mulia Residences di Cyberjaya menganjurkan majlis berbuka puasa untuk merapatkan hubungan ukhuwah
- Lebih 350 jiran tetangga hadir dalam majlis iftar yang dianjurkan sempena Hari Nuzul al-Quran
- Jiran tetangga bukan Muslim turut hadir dalam majlis itu, menikmati suasana berbuka puasa bersama
- Ini merupakan tahun kedua majlis berbuka puasa dianjurkan oleh pihak Jawatankuasa Surau The Mulia Residences
- Persiapan majlis berbuka puasa disediakan atas sumbangan penduduk, termasuk makanan dan logistik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
