Ekonomi dijangka beransur meningkat pada separuh kedua 2020: BNM

 Ekonomi Malaysia dijangka berkembang secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini. Foto: 123RF
Ekonomi Malaysia dijangka berkembang secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini. Foto: 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini, dipacu terutamanya oleh Kadar Dasar Semalaman (OPR) serta projek-projek infrastruktur berskala besar yang dihidupkan semula.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, projek-projek yang disambung semula seperti Transit Aliran Massa 2, Transit Aliran Ringan 2 dan Lebuhraya Pan Borneo akan mendorong peningkatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini sebanyak satu mata peratusan (+1.0 mata peratusan).

“Berikutan penularan koronavirus (Covid-19), beberapa negara termasuk negara maju akan meneruskan langkah sekatan dan menangguhkan operasi yang sebaliknya terus menjejaskan permintaan luar terhadap eksport (Malaysia), namun keadaan dijangka pulih pada separuh kedua.

“Keadaan fiskal dan OPR akan menyumbang kepada pertumbuhan itu," katanya kepada pemberita dalam sidang media maya pertama Bank Negara yang disiarkan secara langsung oleh Bernama TV, di sini hari ini.

Pada sesi taklimat Laporan Tahunan BNM 2019, Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019 dan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2019 itu, Nor Shamsiah berkata, pertumbuhan itu berkemungkinan susut antara -2 peratus hingga 0.5 peratus pada 2020 berikutan penularan Covid-19 yang setakat ini telah meragut lebih 51,000 nyawa di serata dunia manakala 208,000 pesakit lain telah pulih.

Pandemik itu turut melemahkan permintaan global, menjejaskan rantaian bekalan serta pelaksanaan langkah seperti sekatan perjalanan.

Malah, gabenor bank pusat itu berkata, pertumbuhan ekonomi tahun ini dijangka terus mencabar di serata dunia dan pihak Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan bahawa ekonomi akan menguncup pada kadar yang jauh lebih buruk berbanding krisis kewangan global 2009.

Beliau berkata, bank pusat itu menjangkakan aspek bekalan terus terjejas yang turut membabitkan pengeluaran minyak sawit dan sektor minyak dan gas.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, walaupun keadaan ekonomi bagi separuh pertama 2020 dijangka lemah, namun BNM optimis berlakunya peningkatan pada separuh kedua tahun ini berikutan tindakan kerajaan mewujudkan pakej rangsangan ekonomi serta projek infrastruktur yang sedang dijalankan.

Nor Shamsiah berkata, senario Covid-19 itu berkemungkinan menyaksikan pasaran tenaga kerja yang lemah dengan kadar pengangguran dijangkakan meningkat daripada 3.3 peratus pada 2019.

Bagaimanapun, pelaksanaan langkah-langkah rangsangan oleh kerajaan dapat menampan sebahagian daripada impak negatif virus itu dengan melindungi pekerjaan, mengurangkan kerugian pendapatan dan mempermudah aliran tunai perniagaan.

Sementara itu ketika berkongsi nada sama, Timbalan Gabenor BNM, Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, pasaran tenaga kerja dijangkakan lemah dan bank pusat itu mengunjurkan kadar pengangguran meningkat kepada kira-kira 4.0 peratus.

“Sebagai perbandingan, ketika krisis kewangan dunia, kadar pengangguran kita pada 3.7 peratus manakala sewaktu krisis kewangan Asia pada 1998 ianya 3.2 peratus. Oleh itu, pakej rangsangan ini bertujuan untuk membantu pekerja, isi rumah dan perniagaan untuk menempuh tempoh sukar ini," katanya. - Bernama