Muhyiddin terima RM4.6 juta untuk Tabung Covid-19

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) menerima sumbangan daripada Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Tan Sri Leong Hoy Kum (dua, kiri) pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Covid-19 dari sektor korporat di Bangunan Perdana Putra hari ini.- Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) menerima sumbangan daripada Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Tan Sri Leong Hoy Kum (dua, kiri) pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Covid-19 dari sektor korporat di Bangunan Perdana Putra hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM4.6 juta untuk Tabung Covid-19 daripada empat syarikat, menjadikan jumlah terkumpul wang tunai tabung itu sebanyak RM19.52 juta setakat ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), Datuk Zainal Abidin Ahmad mewakili Perodua menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM2 juta kepada Perdana Menteri.

Sapura Holdings Sdn Bhd yang diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Shahril Shamsuddin juga menyampaikan sumbangan RM1 juta.

Syarikat 99 Speedmart Sdn Bhd pula menyumbang sebanyak RM1 juta dan sumbangan syarikat itu disampaikan kepada Muhyiddin oleh Pengarah Eksekutifnya, Ng Lee Tieng.

Kwong Wah Yit Poh Press Berhad yang diwakili Penolong Ketua Editornya, Jimmy Ng pula menyumbang sebanyak RM600,000.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut menerima sumbangan Kumpulan RHB Bank Berhad sebanyak RM1 juta yang disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu, Datuk Khairussaleh Ramli.

Sumbangan wang tunai RHB dikreditkan dalam Tabung Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain wang tunai, Perdana Menteri turut menerima sumbangan dalam bentuk peralatan kesihatan iaitu 20 unit ventilator bernilai RM3.9 juta daripada Mah Sing Group Berhad.

Artikel Berkaitan:

Sumbangan Mah Sing Group disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum.

Replika cek sumbangan wang tunai dan ventilator disampaikan kepada Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Sumbangan yang diterima dari keenam-enam syarikat pada hari ini ialah sebagai tanda sokongan kepada kerajaan dalam menangani wabak Covid-19. - Bernama