X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita hina anggota polis berdepan denda RM10,000

Poh King ketika ditahan dalam sekatan baru-baru ini.
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Wanita yang memaki anggota polis dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 didakwa atas pertuduhan menghalang penjawat awam dan berkelakuan kurang sopan.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Bagaimanapun, Tong Poh King, 44, yang bekerja sebagai pengurus jualan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahirah Abdul Salim.

Suraj (kiri) mengiringi Poh King selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini hari ini.
Suraj (kiri) mengiringi Poh King selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, Poh King didakwa berkelakuan kurang sopan terhadap anggota polis dengan berkata ‘idiot’ (bodoh).

Bagi pertuduhan kedua pula, wanita itu didapati dengan sengaja menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Persiaran Surian menghala masuk ke Pelangi Damansara pada jam 9.40 pagi, 31 Mac lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Wanita kata 'you all are idiots' kepada polis ditahan

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100 manakala pertuduhan kedua, dia dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaous Mohamed Idris manakala tertuduh diwakili Peguam Datuk Suraj Singh.

Terdahulu, Mohamad Firdaous memohon mahkamah memberi kadar jaminan setimpal sebagai tauladan kepada tertuduh, namun dibantah oleh Suraj kerana Poh King memberi kerjasama yang baik sebelum ini malah ia merupakan kesalahan pertama anak guamnya.

Mahkamah membenarkan Poh King diikat jamin sebanyak RM1,000 bagi pertuduhan pertama manakala RM 3,000 bagi pertuduhan kedua, sementara menunggu sebutan kes yang akan dijalankan pada 20 Mei depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus