Guan Eng menang saman fitnah terhadap Zuraida dan dua lagi

SHAH ALAM - Penasihat DAP, Lim Guan Eng pada Khamis berjaya dalam saman terhadap bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin serta dua lagi selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa kenyataan yang dibuat terhadapnya adalah fitnah.
Peguam, Datuk Sankara Nair, yang mewakili Guan Eng berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Shoba Menon membenarkan saman difailkan bekas Menteri Kewangan itu selepas mendapati kesemua defendan gagal membuktikan pembelaan yang dikemukakan dalam kes berkenaan.
Beliau berkata, mahkamah telah memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada Guan Eng.
"Mahkamah turut mengarahkan kesemua defendan membayar kos sebanyak RM5,000 kepada plaintif,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
Nair berkata, mahkamah telah mengeluarkan perintah injunksi bagi melarang ketiga-tiga defendan daripada terus menerbitkan atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Guan Eng.
Pada prosiding hari ini, Guan Eng diwakili peguam Maniggandan Gopalan manakala ketiga-tiga defendan diwakili peguam Nizamuddin Hamid.
Pada 7 Jun 2024, Guan Eng memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan Zuraida, editor MalaysiaNow Muhammad Abd Ar-Rahman Koya dan MNow Media Sdn Bhd sebagai defendan.
Menerusi pernyataan tuntutannya, Guan Eng berkata, Zuraida telah mengeluarkan kenyataan palsu terhadapnya berkaitan projek perumahan untuk bekas pekerja ladang di Bestari Jaya, Selangor. - Bernama
Ringkasan AI
- SHAH ALAM - Penasihat DAP, Lim Guan Eng berjaya dalam saman fitnah terhadap bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin serta dua lagi
- Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman Guan Eng setelah defendan gagal membuktikan pembelaan
- Defendan diarahkan membayar ganti rugi RM50,000 kepada Guan Eng
- Defendan turut perlu membayar kos sebanyak RM5,000 kepada Guan Eng
- Mahkamah mengeluarkan perintah injunksi melarang defendan daripada menyebarkan kenyataan fitnah terhadap Guan Eng
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
