Kenapa kerajaan perlu bantu B40?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ANDA semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini. Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir.”

Begitulah antara petikan teks ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) baru-baru ini yang menyediakan suntikan dana sebanyak RM250 bilion untuk melindungi kebajikan kumpulan B40, M40 dan peniaga sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Analogi keluarga Mak Cik Kiah penjual goreng pisang yang digunakan bagi menerangkan manfaat dan penjimatan yang boleh diperoleh daripada pakej Prihatin turut mendapat perhatian ramai.

Diharap pengumuman pakej tersebut mampu membuatkan ramai ‘keluarga Mak Cik Kiah’ di luar sana menarik sedikit nafas lega pada waktu kritikal ini dan jauh lebih penting sekurang-kurangnya dapat meletakkan makanan di atas meja untuk seisi keluarga.

Jika diperhalusi, kumpulan B40 adalah antara penerima bantuan terbesar dalam pakej Prihatin kerajaan. Persoalannya, apakah istimewanya golongan ini dan mengapa kerajaan memberi keutamaan kepada mereka?

Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, golongan B40 perlu diberikan perhatian khusus disebabkan pendapatan mereka yang terhad dan kecil selain mempunyai kecenderungan tinggi untuk tergelincir dalam kumpulan rentan kewangan (financial vulnerability).

Menurut Mohamad Fazli, kumpulan pendapatan isi rumah di Malaysia dikategorikan berdasarkan kepada Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan pada tahun 2016.

“Dari segi takrifan, golongan B40 merujuk kepada kumpulan isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM4,360,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Sistem sokongan

Mohamad Fazli yang juga Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia berkata, golongan isi rumah B40 yang juga meliputi kelompok ibu tunggal, orang kelainan upaya dan orang asli yang mempunyai sistem sokongan sosial yang terhad.

“Selain itu, kebanyakan mereka juga mempunyai tahap pendidikan yang rendah-sederhana. Ini menyukarkan mereka mendapatkan pekerjaan yang memberikan pulangan lumayan. Jika tidak dibantu, ia akan memberi kesan ke atas peningkatan kadar kemiskinan di Malaysia,” katanya.

Menjawab soalan wajarkah golongan daripada kategori pendapatan lain berasa cemburu dengan bantuan yang diberi kepada golongan B40, Mohamad Fazli berkata, meskipun pakej rangsangan ekonomi Prihatin dilihat memberi manfaat besar kepada golongan isi rumah B40, sebenarnya kali ini limpahannya turut dirasai kumpulan isi rumah M40.

Menurut beliau, kumpulan isi rumah M40 turut menerima wang tunai RM1,000 untuk kumpulan yang berpendapatan antara RM4,001 hingga RM8,000.

“Selain itu, manfaat lain bukan berupa pemberian tunai seperti penangguhan pembayaran premium untuk insurans dan takaful keluarga, internet percuma dan diskaun bil elektrik turut diberikan.

“Pada pandangan saya, adalah tidak wajar untuk golongan M40 dan T20 cemburu dengan bantuan yang diberikan. Dalam situasi mendesak sekarang kerana Covid-19, perkara yang lebih utama yang harus kita tanam dalam diri masing-masing adalah bersyukur atas apa yang diberi. Malah bagi yang mempunyai lebihan rezeki sebaiknya bantulah golongan kurang berkemampuan yang berada di bawah,” katanya lagi.

Ditanya apakah nasib golongan B40 selepas ini susulan kelumpuhan ekonomi akibat pandemik Covid-19, Mohamad Fazli menegaskan bahawa pihak kerajaan juga mempunyai kekangan dari sudut kewangan (pendapatan dan perbelanjaan negara) dan bantuan yang diberikan ini untuk jangka masa pendek.

“Pakej Prihatin ini adalah salah satu inisiatif dan keprihatinan kerajaan untuk membantu golongan B40 meneruskan kelangsungan hidup seharian mereka terutama dalam situasi semasa,” jelasnya.

Katanya, kerajaan telah menyediakan bantuan tunai secara one off dengan peruntukan hampir RM10 bilion untuk meringankan beban kumpulan isi rumah B40 dan M40.

“Selain itu, pemberian bantuan tunai BSH (Bantuan Sara Hidup) juga akan diterima pada bulai Julai 2020 yang melibatkan peruntukan RM3.2 bilion. Ini tidak termasuk bantuan bantuan bukan tunai misalnya, penangguhan pembayaran bulanan bagi unit sewa milik, pengecualian pembayaran sewa bagi perumahan rakyat dan diskaun bil elektrik.

“Dengan adanya bantuan sebegini, kesan ke atas ekonomi individu dan keluarga dapat dikurangkan. Saya beranggapan ia akan mengambil sedikit masa untuk mereka membuat penyesuaian,” katanya.

Paling terkesan

Sementara itu, Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia, Profesor Dr Laily Paim bersetuju bahawa pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan boleh membantu golongan B40 yang terjejas akibat Covid-19.

“Fokus kepada golongan B40 memang wajar kerana golongan ini paling terkesan sekiranya pendapatan mereka terjejas disebabkan diberhentikan kerja, diminta bercuti tanpa gaji atau tidak dapat bekerja (peniaga kecil-kecilan) akibat Perintah Kawalan Pergerakan,” kata Laily kepada Sinar Harian semalam.

Laily menegaskan, umum tahu golongan itu juga tidak mempunyai simpanan atau hanya ada sedikit simpanan untuk digunakan. Keadaan ini akan menjejaskan keupayaan mereka memenuhi keperluan asas seperti makanan dan kesihatan.

“Oleh itu, amat wajar mereka dibantu hingga satu tempoh yang munasabah disebabkan Covid-19. Saya lihat kerajaan berusaha ke arah itu.

“Kegagalan memenuhi keperluan asas akan memberi impak lain seperti menjejaskan tahap kesihatan, masalah sosial dan sumber insan masa hadapan kepada isi rumah dan seterusnya negara.

“Bagaimanapun, saya rasa rakyat sendiri patut bertanggungjawab. Sekiranya ekonomi isi rumahnya baik, walaupun tergolong dalam golongan B40, kita patut utamakan mereka yang lebih memerlukan,” pinta Laily.