Pastikan agihan sampai kepada golongan sasar

Dari kiri: Azlan Nabees, Sara dan Mohd Afzanizam pada Wacana Sinar Harian Siri 161 bertajuk Siapa Muhyiddin Dalam Krisis Covid-19? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian.
Dari kiri: Azlan Nabees, Sara dan Mohd Afzanizam pada Wacana Sinar Harian Siri 161 bertajuk Siapa Muhyiddin Dalam Krisis Covid-19? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian.
A
A
A

KERAJAAN masih mampu memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi tambahan jika wabak Covid-19 terus berlanjutan.

Bagaimanapun, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan perlu terlebih dahulu memastikan agihan RM250 bilion dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin diterima golongan sasar.

“Apa yang dikatakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa sasaran defisit fiskal itu mungkin meningkat kepada empat peratus.

“Melalui perkiraan saya, hutang kerajaan iaitu hutang yang diambil kira sebagai had kerajaan boleh meminjam adalah sebanyak 55 peratus daripada KDNK (keluaran dalam negara kasar) negara. “Hutang-hutang yang terlibat dalam input kompetitif ialah 48.7 peratus pada 2019.

“Jadi saya menganggarkan daripada sejumlah 48.7 ke 55 peratus itu, defisit fiskal boleh mencecah sekitar 6.4 peratus.

“Jadi sasaran kerajaan adalah empat peratus pada masa ini. Maksudnya ia boleh meningkat ke paras enam peratus. Maka, kerajaan sebenarnya mempunyai ruang untuk berbelanja lebih lagi,” katanya.Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri 161 bertajuk Siapa Muhyiddin Dalam Krisis Covid-19? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian semalam.

Wacana tersebut disertai panelis iaitu Penganalisis Politik dan Media Sosial, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy dengan Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.

Mohd Afzanizam berkata, kerajaan akan melihat tahap keberkesanan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin terhadap ekonomi negara.

Menurutnya, keadaan itu bergantung kepada situasi semasa wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

“Kalau semakin cepat wabak itu diselesaikan, semakin cepat kesan dapat memulihkan ekonomi. “Kita lihat bagaimana kerajaan Singapura melancarkan pakej rangsangan ekonomi. Perkara utama yang diberi penekanan ialah job security melibatkan subsidi terhadap kadar upah.

“Saya rasa formula itu boleh diguna pakai dan sudah dipakai pun sebenarnya oleh Malaysia cuma peruntukannya kalau berpanjangan, mungkin kadarnya akan ditambah. Fokusnya lebih kepada job security,” katanya.

Beliau berkata, Program Subsidi Upah yang diumumkan kerajaan membabitkan peruntukan RM5.9 bilion akan memanfaatkan kira-kira 3.3 juta pekerja dengan bayaran RM600 sebulan selama tiga bulan.

Katanya, langkah itu sekali gus mengelak syarikat mengurangkan pekerja secara besar-besaran.Mohd Afzanizam berkata, langkah kerajaan memberikan moratorium penangguhan pinjaman selama enam bulan tidak menjejaskan keuntungan bank.

Katanya, mengikut amalan biasa, penangguhan tiga bulan akan menyebabkan akaun pinjaman itu dikategorikan sebagai non performing loan (NPL) dan pihak bank terpaksa membuat satu peruntukan hutang ragu.

“Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberi satu bentuk pengecualian. Accounting treatment itu dikecualikan.

“Walaupun tidak bayar selama enam bulan, kita tidak anggap akaun itu NPL dan tidak menyebabkan bank terjejas. Itu situasi menang-menang," katanya.

Jelasnya, penstrukturan dan penjaluran semula pinjaman (RNR) memberi peluang kepada peminjam untuk menstruktur hutang mereka dengan mengambil kira kadar faedah yang sangat kompetitif ketika ini.