Ewon temui diaspora Malaysia, ajak jadi duta produk PMKS

Ewon Benedick. - Foto: Fail Bernama
Ewon Benedick. - Foto: Fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menemui diaspora Malaysia di Jordan dan mengajak mereka untuk menjadi duta produk perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi negara.

Menurutnya, pihak kementerian bersedia membantu diaspora Malaysia di negara berkenaan yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan terutamanya menerusi platform koperasi.

“Saya berharap agar diaspora dan para pelajar Malaysia menjadi duta kepada perkhidmatan, produk dan jenama daripada syarikat-syarikat PMKS, koperasi dan francais negara Malaysia di tempat bekerja atau kampus pengajian masing-masing.

“Pemasaran produk-produk Malaysia ke pasaran antarabangsa sudah tentunya memerlukan sokongan duta-duta seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sesi Ramah Mesra antara Delegasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) bersama diaspora Malaysia di Jordan di Hotel Ritz Carlton, Amman.

Sebelum ini, Ewon dilaporkan akan mengetuai delegasi kementeriannya ke Persidangan Menteri-menteri Koperasi Asia Pasifik di Jordan bermula 28 hingga 30 April.

Ewon dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, persidangan empat tahun sekali itu anjuran International Cooperative Alliance - Asia Pacific (ICA-AP), dengan kerjasama Jordan Cooperative Corporation (JCC) dan Kementerian Pertanian Jordan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kuskop menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bersedia membantu diaspora Malaysia yang ingin bekerjasama dengan koperasi negara.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, penyertaan golongan profesional, belia dan penjawat awam dalam gerakan koperasi amat penting memandangkan mereka berupaya bertindak sebagai penyumbang idea dalam memastikan gerakan koperasi berkembang dinamik, relevan dengan perkembangan sosioekonomi negara.

“Saya percaya dengan pengalaman warga Malaysia di Jordan termasuk para pelajar yang hidup dan bekerja dalam persekitaran antarabangsa dapat mengukuhkan lagi personaliti dan memupuk kemahiran menangani cabaran serta mewujudkan rangkaian global berpengaruh,” katanya.

Sementara itu, Ewon memaklumkan, PMKS berjaya menyumbang sebanyak 38.4 peratus atau RM580.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), nilai eskport 10.5 peratus atau RM144.5 bilion dan 48.2 peratus atau 7.59 juta orang dalam sektor guna tenaga pada tahun 2022.

Katanya, pada tahun lalu, bilangan koperasi juga terus melonjak kepada 15,809 buah dengan jumlah keanggotaan 7.2 juta orang, modal syer RM17.45 bilion, penjanaan aset RM165.89 bilion dan nilai perolehan sebanyak RM64.56 bilion.

“Bagi sektor francais, ia mempunyai lebih 1,000 jenama yang telah didaftarkan.

“Dalam hubungan ini, saya berharap diaspora dan para pelajar Malaysia menjadi duta kepada perkhidmatan, produk dan jenama daripada syarikat-syarikat PMKS, koperasi dan francais Malaysia di tempat bekerja atau kampus pengajian masing-masing.

“Pemasaran produk-produk Malaysia ke pasaran antarabangsa sudah tentunya memerlukan sokongan duta-duta seperti ini,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!