Lengkung jangkitan rata tidak bermakna sifar kes: Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata, lengkung jangkitan rata koronavirus (Covid-19) tidak membawa maksud bahawa kes penularan wabak itu di negara ini akan menjadi sifar.

Apa yang dimaksudkan dengan lengkung jangkitan rata ialah jumlah keseluruhan kes akan lebih mudah diuruskan dan hospital berupaya menangani jumlah pesakit yang perlu dirawat.

“Seperti yang kita boleh lihat setakat hari ini, dari segi pesakit di unit rawatan rapi (ICU), bilangannya semakin bertambah jadi kita perlu memastikan bahawa hospital mempunyai keupayaan untuk berfungsi dengan baik dan menyediakan perkhidmatan yang memuaskan kepada pesakit,” katanya semasa sidang akhbar harian mengenai Covid-19 di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, buat masa ini, kes kritikal mewakili kira-kira lima peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19.

Ketika diminta mengulas kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jumlah kes Covid-19 di Malaysia akan memuncak pada pertengahan bulan ini, beliau berkata, KKM telah meramalkan perkara yang sama sebelum ini.

Dr Noor Hisham berkata apa yang membimbangkan ialah kes import dijangka meningkat dan itu adalah sebab pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini terpaksa diperketat dalam tempoh 14 hari ini.

“Kami bimbang kes-kes import akan meningkat dan itu adalah antara sebab kita melaksanakan PKP selain meneruskan pengesanan kes aktif terutama di kawasan panas, dengan berbuat demikian, kami akan berupaya mengenal pasti, menguji, mengasingkan serta merawat mereka lebih awal.

“Tempoh dua minggu ini amat penting dan jika kita boleh bekerjasama serta memastikan bahawa kita memainkan peranan masing-masing iaitu duduk di rumah, mencuci tangan, mengamalkan jarakan sosial dan disiplin sosial sesama kita, diharapkan dalam tempoh dua minggu ini kita akan dapat meratakan lengkung jangkitan virus itu,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: