Pandu lebih 100km nak buka puasa

Keindahan latar belakang Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah yang ikonik menambah daya tarikan pengunjung untuk menikmati suasana petang yang tenang di Padang MBK 1, Kuantan.
Keindahan latar belakang Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah yang ikonik menambah daya tarikan pengunjung untuk menikmati suasana petang yang tenang di Padang MBK 1, Kuantan.
A
A
A

KUANTAN – Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 terus menjadi lokasi pilihan warga tempatan dan pengunjung luar untuk berbuka puasa setiap kali Ramadan.

Kawasan lapang itu menjadi tarikan bukan sahaja kerana kedudukannya di tengah bandar tetapi bazar Ramadan dan Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 yang terletak bersebelahan, menjadikannya lokasi unik berbanding tempat lain.

Bayangkan beratus orang duduk di atas rumput beralaskan tikar, masing-masing dengan juadah berbeza, namun berkongsi satu perasaan yang sama iaitu menunggu azan Maghrib.

Muhammad Amir bersama keluarga kali pertama berbuka puasa di Padang MBK1 dan hadir ke lokasi itu untuk menikmati suasana.
Muhammad Amir bersama keluarga kali pertama berbuka puasa di Padang MBK1 dan hadir ke lokasi itu untuk menikmati suasana.

Pengunjung dari Dungun, Terengganu, Muhammad Amir Hidayat Busmam, 33, mengakui sanggup menempuh perjalanan lebih satu jam dengan jarak lebih 100 kilometer (km) semata-mata untuk menikmati suasana iftar di padang tersebut.

Menurutnya, berbuka di situ menjadi pengisian dalam menghidupkan syiar Ramadan dalam suasana santai dan dapat mengeratkan silaturahim.

“Sebab utama saya pilih tempat ini adalah kerana akses mudah ke masjid dan kali pertama saya jejak kaki ke sini.

"Kami bukan sahaja dapat iftar beramai-ramai tapi berpeluang menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah tanpa perlu tergesa-gesa.

Artikel Berkaitan:

"Malah, saya turut menempah hotel berdekatan bagi memudahkan urusan bersahur pada keesokan pagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Shahril (kanan) bersama isteri dan anaknya mengambil peluang cuti hujung minggu untuk berbuka puasa di Padang MBK1.
Shahril (kanan) bersama isteri dan anaknya mengambil peluang cuti hujung minggu untuk berbuka puasa di Padang MBK1.

Bagi Shahril Muhammad Nor, 43, berbuka puasa di sini menjadi rutin keluarganya setiap tahun.

Bapa kepada tiga anak itu sanggup memandu kira-kira 50km dari Kemaman bersama isteri dan tiga anaknya.

“Anak-anak lebih santai di sini. Walaupun boleh berbuka di rumah, suasana orang ramai dan kedudukan masjid yang berhampiran membuatkan kami sanggup datang dari jauh,” ujarnya.

Fakhri Aiman mengakui akan berbuka di Padang MBK1 setiap kali Ramadan kerana sukakan suasana yang unik.
Fakhri Aiman mengakui akan berbuka di Padang MBK1 setiap kali Ramadan kerana sukakan suasana yang unik.

Sementara itu Fakhri Aiman Abdullah, 22, berkata, Padang MBK 1 merupakan lokasi iftar yang lengkap dan mesra pengunjung.

Menurutnya, tempat itu sudah menjadi titik pertemuan warga Kuantan dan pengunjung luar yang gemar berbuka di lokasi terbuka bersama keluarga serta rakan-rakan.

"Lokasi ini ada tarikan yang sukar ditemui di tempat lain.

“Jadi, saya memang wajib datang ke sini dan biasanya hadir lima hingga enam kali sepanjang sebulan berpuasa," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Padang Majlis Bandaraya Kuantan menjadi lokasi pilihan untuk berbuka puasa setiap Ramadan
  • Berdekatan dengan bazar Ramadan dan Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, menambah tarikan unik
  • Muhammad Amir Hidayat Busman dari Terengganu sanggup menempuh lebih 100km untuk nikmati suasana iftar
  • Shahril Muhammad Nor menjadikan berbuka di sana sebagai rutin keluarganya setiap tahun
  • Fakhri Aiman Abdullah menyatakan Padang MBK 1 sebagai lokasi iftar lengkap dan mesra pengunjung

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!