Keputusan bazar Ramadan sebelum 10 April: Annuar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan akan dibenarkan beroperasi atau tidak akan diputuskan sebelum 10 April ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, perbincangan khusus mengenai isu bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan akan dilakukan dalam mesyuarat petang esok.

Menurutnya, sebarang keputusan yang dibuat nanti adalah berasaskan garis panduan serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sekali gus mengambil kira kesihatan dan keselamatan rakyat sebagai perkara paling utama.

“Esok kita akan bincang secara terperinci mengenai hala tuju bukan sahaja bazar Ramadan tetapi juga perniagaan terbuka, gerai sementara dan sebagainya.

“Kemudian insya-ALLAH apa-apa yang kita dapat esok kita rujuk kepada KKM untuk mendapatkan pandangan selanjutnya.

"Jika perlu Rabu depan saya akan membuat nota kepada jemaah menteri untuk memaklumkan perancangan kita,” katanya pada sidang media secara live menerusi Facebooknya, hari ini.

Annuar berkata, beliau akan membuat pengumuman dan pemakluman mengenai bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan sebelum 10 April ini.

Sehingga tempoh itu, Annuar meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kita melihat soal bazar Ramadan dalam bentuk yang luas. Ada dua senario... yang pertama, jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuatkuasa maka segala peraturan sedang berjalan sudah tentu akan diperketatkan.

“Kedua, sekiranya PKP sudah tamat adakah kita akan kembali semula kepada konsep bazar Ramadan yang kita lihat sebelum ini jawabnya tidak boleh,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, jika PKP telah tamat, semua pihak mestilah terus berhati-hati untuk memastikan penularan semula tidak berlaku selain memastikan aspek keselamatan, penjarakan sosial dan lain-lain perkara diambil kira.