Lubang benam: IWK ambil masa tiga minggu kenal pasti, baiki paip rosak

Lubang benam di Jalan Bagan Lalang yang berlaku pada 26 Februari lalu.
Lubang benam di Jalan Bagan Lalang yang berlaku pada 26 Februari lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Kejadian lubang benam di Jalan Bagan Lalang di sini pada 26 Februari lalu dikenal pasti berpunca daripada kerosakan paip pembetungan di jajaran berkenaan.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, hasil siasatan terperinci menggunakan kaedah kamera litar tertutup (CCTV) oleh Indah Water Konsortium (IWK) mendapati berlaku kerosakan pada paip pembetungan di lokasi tersebut.

Zairil berkata, beliau telah turun ke tapak kejadian bagi meninjau keadaan semasa serta menerima taklimat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze.

“Buat masa ini, pihak IWK akan melaksanakan kerja korekan segera bagi mengenal pasti tahap kerosakan paip berkenaan.

“Tempoh kerja pengenalpastian dan pembaikan dijangka mengambil masa kira-kira tiga minggu memandangkan Jalan Bagan Lalang merupakan laluan utama penduduk setempat dan kerja-kerja hanya dibenarkan dilaksanakan pada waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Zairil (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada pegawai bertugas mengenai perkembangan terkini lubang benam di Jalan Bagan Lalang.
Zairil (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada pegawai bertugas mengenai perkembangan terkini lubang benam di Jalan Bagan Lalang.

Beliau menambah, sepanjang tempoh pembaikan itu, penutupan sebahagian jalan akan dilakukan pada waktu malam dengan pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) di tapak serta penempatan flagman bagi melancarkan aliran trafik.

Sehubungan itu, orang awam yang melalui kawasan berkenaan dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Zairil berkata, bagi langkah mitigasi jangka panjang, Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Mak Mandin serta Pembinaan Rangkaian Paip Pembetungan dalam kawasan tadahan Butterworth North telah dimulakan menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, projek bernilai RM650 juta itu melibatkan pembinaan jajaran paip pembetungan baharu bagi menggantikan jajaran sedia ada yang akan dihentikan penggunaannya.

“Projek ini telah bermula pada 25 Jun 2024 bagi kerja-kerja awalan dan pembinaan fizikal dijangka bermula April 2026 hingga 24 Jun 2029,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Lubang benam di Jalan Bagan Lalang berpunca dari kerosakan paip pembetungan
  • Zairil Khir Johari menggunakan CCTV untuk siasatan yang dilakukan oleh Indah Water Konsortium
  • Kerja korekan untuk mengenal pasti tahap kerosakan dan pembaikan mengambil masa kira-kira tiga minggu
  • Pelan Pengurusan Trafik dan penutupan jalan sebahagian pada waktu malam dilaksanakan semasa tempoh pembaikan
  • Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Mak Mandin dan Pembinaan Rangkaian Paip Pembetungan bernilai RM650 juta telah dimulakan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!