70 wanita hamil warga Malaysia dibawa pulang dari Singapura

Singapura
Singapura
A
A
A

SINGAPURA – Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura hari ini telah membantu membawa pulang 70 wanita hamil warga Malaysia yang bekerja di Singapura bersama-sama dengan 10 kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) melalui Tambak Johor.

“Dua buah bas telah digunakan untuk membawa pulang kumpulan ini yang berkumpul di Stesen MRT Kranji seawal jam 10 pagi," menurut Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Muhd Radzi Jamaluddin kepada Bernama.

Beliau berkata, kumpulan itu telah mendapat perhatian awal pihaknya kerana mereka telah hampir cukup bulan untuk bersalin.

“Kami telah berusaha sedaya upaya supaya mereka pulang untuk melahirkan anak di kampung halaman masing masing,” katanya.

Beliau berkata, menurut kumpulan itu, mereka menghadapi kesukaran untuk melahirkan anak di Singapura dan telah mengambil keputusan untuk bersalin di tanah air.

“Ini kerana kedua-dua negara telah mengenakan pelbagai syarat dan larangan ke atas pelawat asing yang berubah dari hari ke hari yang mendorong kumpulan ini untuk pulang ke Malaysia secepat mungkin,” katanya.

Pada 31 Mac lalu, kerajaan Malaysia mengumumkan semua rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di tempat khas yang ditetapkan oleh kerajaan berkuat kuasa 3 April.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung mulai 18 Mac, terdapat warga Malaysia yang tiada kenderaan sendiri mengambil pilihan berjalan kaki untuk pulang menyeberang Tambak Johor sejauh kira-kira satu kilometer. - Bernama

Artikel Berkaitan: