Polis tumpas dua sindiket dadah di Melaka

MELAKA - Polis Melaka berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah serta merampas pelbagai jenis dadah dan barangan terlarang dianggarkan bernilai RM400,250 dalam dua serbuan berasingan di Banda Hilir dan Kota Syahbandar di sini, bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, serbuan terkini membabitkan rampasan dadah disyaki dadah jenis 3,4 -Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai kira-kira RM226,500 di sebuah rumah di Banda Hilir pada sekitar 2.30 petang pada 25 Feb lepas.
Beliau berkata dalam pemeriksaan, polis menemukan sebanyak 87 botol minuman pelbagai jenama dan 15 tin minuman yang mengandungi cecair disyaki MDMA dengan anggaran isipadu 37,890 mililiter, selain 138 paket serbuk pelbagai perisa disyaki MDMA seberat 6.052 kilogram.
"Seorang lelaki berusia 55 tahun yang dikenal pasti sebagai dalang sindiket pengedaran dadah ditahan. Siasatan awal mendapati dadah berkenaan dijual untuk pasaran pusat hiburan di sekitar Melaka Raya.
"Harga jualan bagi dadah dalam botol minumanadalah antara RM150 hingga RM200 sebotol manakala paket serbuk pelbagai perisa pula dijual antara RM250 hingga RM300 setiap satu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sini hari ini.
Beliau berkata, saringan air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis Methamphetamine selain mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Katanya suspek direman selama tujuh hari sehingga 4 Mac ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Dalam kes berasingan, Christopher berkata, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun dan teman wanitanya, warga Thailand berusia 18 tahun, ditahan selepas polis menemukan pelbagai jenis dadah di dalam Perodua Myvi yang mereka naiki di Jalan Pesisir Pantai berdekatan Kota Syahbandar kira-kira 10.30 malam pada 23 Feb lepas.
Beliau berkata dadah dianggarkan bernilai RM173,750 itu terdiri daripada tiga bungkusan plastik lutsinar disyaki syabu seberat 3,060 gram dan satu bungkusan plastik mengandungi 95 paket cecair ketamin dengan anggaran isipadu 332.50 mililiter.
"Suspek lelaki positif Methamphetamine manakala teman wanitanya pula positif ketamin dan suspek lelaki juga mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
"Tempoh reman kedua-dua suspek yang berakhir hari ini disambung tujuh hari lagi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan secara lebih terperinci di bawah Seksyen 398 ADB 1952 Dan Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.
Katanya siasatan menyeluruh sedang dijalankan, termasuk mengenal pasti sumber bekalan dadah yang diperoleh kedua-dua sindiket yang tiada kaitan antara satu sama lain, selain tempoh pembabitan mereka dalam aktiviti pengedaran dadah di Melaka. - Bernama
Ringkasan AI
- Polis Melaka berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dan merampas dadah bernilai RM400,250
- Serbuan menyasar rumah di Banda Hilir dan menggagalkan pengedaran MDMA bernilai RM226,500
- Seorang lelaki 55 tahun ditahan sebagai dalang sindiket dengan dadah dijual untuk pasaran hiburan di Melaka Raya
- Suspek utama positif Methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah dadah lampau
- Dadah bernilai RM173,750 dirampas dalam kes berasingan melibatkan pasangan muda dengan syabu dan ketamin di Kota Syahbandar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
