Bayar sindiket RM 2,000 tanggung risiko pulang Indonesia naik bot pom pom

SABAK BERNAM - Cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk pulang ke negara asal melalui jalan laut menggunakan khidmat sindiket hingga sanggup membayar RM2,000 ditumpaskan dalam serbuan di perairan Sabak Bernam di sini pada Isnin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, seramai 49 individu termasuk tiga tekong warga Indonesia ditahan dalam Op Pintas itu.
"Operasi pada jam 2 pagi itu dilaksanakan oleh Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), D3, JSJ Bukit Aman bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran.
"Serbuan dilakukan kira-kira tiga batu nautika dari perairan Sabak Bernam, kita berjaya menahan tiga lelaki dipercayai tekong serta 46 migran warga Indonesia yang terdiri daripada 26 lelaki dan 20 wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kumar berkata, operasi itu telah dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Task Force NSO MAPO, Kementerian Dalam Negeri.
"Siasatan awal mendapati kesemua migran terbabit dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia dari pesisir pantai Sabak Bernam dengan menggunakan bot jenis pom pom.
"Setiap migran dipercayai dikenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,000 seorang yang dibayar secara tunai kepada transporter," katanya.
Beliau berkata, kesemua tangkapan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Kumar berkata, pihaknya akan terus memperkukuhkan kawalan keselamatan di perairan negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran.
"Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan jenayah ini melalui balai polis berhampiran," katanya.
Ringkasan AI
- Cubaan PATI untuk pulang ke negara asal melalui jalan laut ditumpaskan di Sabak Bernam
- Seramai 49 individu termasuk tiga tekong warga Indonesia ditahan
- Operasi dijalankan oleh Atipsom, D3, JSJ Bukit Aman dengan kerjasama PPM, pgu dan Task Force NSO MAPO
- Migran dibayar RM1,500 hingga RM2,000 seorang untuk pulang ke Tanjung Balai, Indonesia
- Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
