Mahkamah Rayuan kekalkan penjara 18 bulan ke atas bekas penjawat awam cabul wanita

PUTRAJAYA - Bekas penjawat awam diperintahkan menjalani hukuman penjara 18 bulan bermula hari ini selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya atas kesalahan mencabul seorang wanita, 15 tahun lepas.
Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Supang Lian, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy, menolak rayuan Zolkapli Long @ Mohamad terhadap sabitan kesalahannya kerana mencabul kehormatan seorang wanita yang juga klien di tempat beliau bertugas.
Mahkamah mengeluarkan waran komital terhadap Zolkapli, 57, untuk mula menjalani hukuman penjara bermula hari ini. Sebelum ini, beliau diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman serta jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan rayuannya.
Hakim Muniandy yang membacakan keputusan sebulat suara berkata, Mahkamah Tinggi tidak melakukan kesilapan dalam menyabitkan Zolkapli atas kesalahan mencabul, dan tepat dalam membuat kesimpulan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya tanpa sebarang keraguan munasabah.
Pada 2022, Mahkamah Majistret membebaskan dan melepaskan Zolkapli daripada pertuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Namun, Mahkamah Tinggi pada 2023 membatalkan pembebasan Zolkapli dan mendapati beliau bersalah kerana mencabul kehormatan wanita tersebut. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas Zolkapli.
Kesalahan itu dilakukan ke atas mangsa, yang ketika itu berumur 19 tahun, di pejabatnya di Langkawi pada kira-kira jam 2.45 petang, 20 Oktober 2011.
Di Mahkamah Rayuan, peguam Fozi Addhwa Mohammad Fozi mewakili peguam Zolkapli iaitu G Ravishankar dan Muhammad Nizam Zaidi, manakala Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim@Husaini mewakili pihak pendakwaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Bekas penjawat awam dihukum penjara 18 bulan atas kesalahan mencabul seorang wanita 15 tahun lalu
- Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman selepas menolak rayuan Zolkapli Long @ Mohamad
- Zolkapli, berumur 57 tahun, memulakan hukuman penjara hari ini dengan waran komital telah dikeluarkan
- Mahkamah Tinggi tidak menemui kesilapan dalam menyabitkan Zolkapli dan mendapati pendakwaan telah membuktikan kes tanpa keraguan munasabah
- Kesalahan mencabul dilakukan di pejabatnya di Langkawi pada 20 Oktober 2011 terhadap mangsa berumur 19 tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
