Exco Agama Selangor beri 24 jam padam infografik fitnah lantikan bukan Islam

SHAH ALAM – Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah memberi tempoh 24 jam kepada pemilik akaun media sosial menurunkan perkongsian infografik tular memaparkan ucapan tahniah kepada seorang pemuda bukan Islam kononnya dilantik sebagai Setiausaha Kanan di pejabatnya.
Mohammad Fahmi berkata, tindakan tegas termasuk laporan polis dan saman akan diambil terhadap mana-mana pemilik akaun yang ingkar selepas tempoh berkenaan.
Menurutnya, hantaran terbabit adalah palsu dan telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap akaun yang sudah dikenal pasti kerana ini adalah satu fitnah berniat jahat," katanya dalam satu hantaran video di aplikasi TikTok pada Isnin.
Katanya, Mahasiswa Keadilan Malaysia sendiri sudah mengeluarkan kenyataan menafikan infografik yang kononnya dikeluarkan oleh mereka.
Beliau menegaskan, sehingga kini pejabatnya tidak pernah mempunyai pegawai bukan Islam dan tiada perancangan untuk membuat lantikan sedemikian.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai menjauhi fitnah lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan sambil memetik maksud Surah Al-Baqarah ayat 191 bahawa fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh.
"Gunakanlah Ramadan ini untuk memperbanyakkan amalan mulia dan hentikan penyebaran fitnah," tambahnya.
Terdahulu, tular di media sosial satu infografik memaparkan ucapan tahniah kepada seorang pemuda bukan Melayu kononnya dilantik sebagai Setiausaha Kanan kepada Mohammad Fahmi di Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor.
Ringkasan AI
- Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor memberi tempoh 24 jam kepada pemilik akaun media sosial untuk menurunkan perkongsian infografik palsu
- Infografik itu kononnya memaparkan ucapan tahniah kepada pemuda bukan Islam dilantik sebagai Setiausaha Kanan di pejabat Exco
- Mohammad Fahmi mengatakan tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik akaun yang ingkar termasuk laporan polis dan saman
- Hantaran itu adalah palsu dan telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab
- Pejabat Exco tiada pegawai bukan Islam dan tiada perancangan untuk lantikan sedemikian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

