Sindiket curi kabel menyamar pakai baju logo TM kecundang

Pakaian dan topi keselamatan yang digunakan sindiket curi kabel dirampas polis. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Pakaian dan topi keselamatan yang digunakan sindiket curi kabel dirampas polis. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Helah geng curi kabel yang menggunakan kelengkapan penyamaran serta pakaian berlogo Telekom Malaysia (TM) bersama pelbagai peralatan terbongkar selepas sembilan individu diberkas baru-baru ini.

Serbuan Op Kabel Viral pada 23 dan 26 Februari lalu itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan pasukan khas Balai Seksyen 6 serta IPD Kuala Muda, Kedah hasil maklumat dan risikan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek tempatan berusia 19 hingga 44 tahun itu terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan di sekitar Dengkil, Selangor; Sungai Petani, Kedah dan Ipoh, Perak.

"Turut dirampas 12 batang kabel serta 20 unit kulit kabel milik syarikat telekomunikasi bersama peralatan jenayah termasuk besi pembuka lubang penyelenggaraan (manhole) yang telah diubah suai.

"Turut disita ialah dua kenderaan masing-masing jenis BMW dan Nissan Navara serta sebuah lori Mitsubishi Canter, selain penemuan dokumen transaksi jual beli dan salinan resit bank berjumlah RM60,000," katanya dalam sidang akhbar di IPD Shah Alam di sini pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan mendapati geng terbabit aktif sejak 2025.

Shazeli (dua dari kiri) menunjukkan rampasan kenderaan selepas tumpasnya sindiket curi kabel baru-baru ini. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Shazeli (dua dari kiri) menunjukkan rampasan kenderaan selepas tumpasnya sindiket curi kabel baru-baru ini. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sindiket didapati menggunakan kelengkapan penyamaran seperti vest, baju berlogo TM, lampu beacon serta topi keselamatan bagi melindungi aktiviti mereka.

"Setiap suspek mempunyai peranan tersendiri. Tiga suspek wanita dipercayai bertindak sebagai penjual dan mencari tempat penginapan bagi kumpulan mereka," ujarnya.

Beliau menegaskan, semakan rekod mendapati sebahagian besar suspek merupakan penjenayah tegar dengan pelbagai rekod lampau melibatkan kes curi, samun serta dadah.

Malah, katanya, dua daripada suspek juga masih dikehendaki bagi kes di Subang dan Perak selain tujuh daripada mereka positif dadah jenis amfetamina, metamfetamina dan THC.

"Operasi ini berjaya menyelesaikan beberapa kes yang dilaporkan di Jinjang, Kupang dan Padang Serai. Semua suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam esok di bawah Seksyen 379/414 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata polis sedang mengesan tiga lagi lelaki berusia 29 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan kes sindiket terbabit.

Tegasnya, polis komited membanteras kegiatan jenayah sabotaj infrastruktur awam dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes sedemikian diminta tampil ke balai polis berdekatan.

Ringkasan AI

  • Geng curi kabel menggunakan kelengkapan penyamaran dan pakaian berlogo Telekom Malaysia bersama peralatan terbongkar
  • Sembilan individu ditangkap dalam serbuan di Selangor dan Kedah berdasarkan maklumat dan risikan
  • Suspek tempatan berusia 19 hingga 44 tahun, merangkumi enam lelaki dan tiga wanita
  • Dirampas 12 batang kabel, 20 unit kulit kabel, peralatan jenayah, dua kenderaan, sebuah lori dan dokumen transaksi
  • Kegiatan sindiket aktif sejak 2025, menggunakan kelengkapan penyamaran dan setiap suspek mempunyai peranan tersendiri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!