Lelaki tular buat aksi panjat tiang curi kabel sudah diberkas

IPOH - Seorang lelaki yang tular memanjat tiang elektrik dipercayai untuk mencuri kabel dalam kejadian di Kampung Baru Jelapang di sini, berjaya diberkas polis pada Selasa.
Kejadian kira-kira jam 2 petang itu disedari seorang penduduk selepas melihat suspek, warga tempatan berusia 50 tahun, memanjat tiang elektrik dan memotong kabel Telekom Malaysia (TM).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, penduduk berkenaan sempat merakam kejadian tersebut sebelum menghubungi ketua kampung bagi memaklumkan perkara itu.
“Tidak lama kemudian, ketua kampung tiba di lokasi dan meminta suspek turun serta menyerah diri sebelum pihak polis dihubungi untuk tindakan lanjut.
“Suspek berjaya ditahan dan diserahkan kepada anggota dari Balai Polis Jelapang yang berada di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan beberapa peralatan antaranya satu unit alat pemotong wayar, satu gunting berwarna hitam, satu bilah pisau potong berwarna hitam bertulisan ‘Kiwi’ serta satu unit playar.
“Semua peralatan tersebut telah dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan mencuri,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 47 saat memaparkan aksi berani dan nekad seorang lelaki memanjat tiang elektrik serta memotong kabel yang dipercayai berkaitan kegiatan mencuri kabel.
Tindakan tersebut mengundang pelbagai reaksi warganet yang menyifatkannya sebagai berbahaya selain berani melanggar undang-undang kerana dilakukan pada waktu siang dan secara terbuka.
Ringkasan AI
- Lelaki tular memanjat tiang elektrik dipercayai untuk mencuri kabel di Kampung Baru Jelapang, Ipoh ditahan polis
- Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang dan disedari oleh penduduk setempat
- Penduduk menghubungi ketua kampung sebelum pihak polis dihubungi untuk tindakan
- Suspek, warga tempatan berusia 50 tahun, ditahan bersama beberapa peralatan pemotong
- Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan mencuri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

