Kaji semula SOP operasi polis - Lee Lam Thye

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Satu kajian menyeluruh dan komprehensif terhadap semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan operasi penguatkuasaan perlu dijalankan dengan segera bagi memastikan aspek keselamatan anggota polis terus terpelihara.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia susulan terdapat beberapa insiden melibatkan anggota polis cedera parah atau terkorban ketika melaksanakan tugas penguatkuasaan seperti sekatan jalan raya, operasi trafik, rondaan pencegahan jenayah dan operasi khas.

Beliau menegaskan, kejadian-kejadian terbabit tidak boleh dianggap sebagai risiko pekerjaan semata-mata atau sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

"Anggota polis adalah barisan hadapan yang mempertaruhkan keselamatan diri demi melindungi masyarakat. Justeru, keselamatan dan kebajikan mereka wajib dijadikan keutamaan nasional.

"Tiada anggota sepatutnya terdedah kepada bahaya yang tidak perlu akibat kelemahan perancangan keselamatan, kekurangan peralatan perlindungan atau SOP tidak lagi relevan," katanya dalam satu kenyataan.

Lam Thye menyifatkan, kajian tersebut wajar dilaksanakan secara terperinci dengan melibatkan pelbagai pihak berkepakaran bagi memastikan pendekatan yang lebih sistematik dan berkesan.

"Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam usaha menambah baik aspek keselamatan operasi penguatkuasaan termasuklah pemilihan lokasi dan reka bentuk sekatan jalan raya," ujarnya.

Menurutnya, penggunaan peralatan perlindungan diri, langkah kawalan trafik lebih selamat, pengurusan keletihan anggota, prosedur tindak balas kecemasan dan audit keselamatan antara aspek lain perlu diberi penekanan.

"Budaya kerja yang menekankan aspek keselamatan mesti diterapkan sebagai prinsip yang tidak boleh dikompromi. Melindungi mereka yang melindungi kita adalah tanggungjawab bersama," tegas Lam Thye lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, langkah proaktif dalam memperkukuh aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dalam pasukan polis bukan sahaja mampu mengurangkan risiko kemalangan, malah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap operasi penguatkuasaan dijalankan.

Ringkasan AI

  • Kajian komprehensif SOP operasi penguatkuasaan perlu untuk keselamatan polis
  • Insiden cedera atau kematian anggota polis tidak boleh dianggap risiko pekerjaan semata
  • Keselamatan dan kebajikan anggota polis harus dijadikan keutamaan nasional
  • Kajian melibatkan pelbagai pakar untuk pendekatan sistematis dan efektif
  • Peningkatan keselamatan operasi penguatkuasaan dapat meningkatkan keyakinan masyarakat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!