Main bola: 24 lelaki dihukum khidmat masyarakat ingkar PKP

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Gara-gara bermain bola sepak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Selasa lalu, 24 lelaki dijatuhi hukuman khidmat masyarakat selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana ingkar arahan PKP.

Kesemua tertuduh berusia antara 25 dan 48 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Mereka dikenakan hukuman khidmat masyarakat selama tiga jam setiap hari dalam tempoh tiga bulan.

Kesemua mereka perlu melapor diri kepada Jabatan Penjara Malaysia di bawah Akta Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (PKW) 1954 yang mana pihak penjara akan menentukan jenis khidmat masyarakat yang perlu dilakukan oleh individu berkenaan.

PKW yang merupakan program khidmat masyarakat adalah perintah alternatif selain hukuman penjara.

Kesemua tertuduh mengaku bermain bola sepak di padang Kolej Seminari Tinggi Katolik, di sini, yang berada di dalam kawasan wabak Covid-19 pada jam 5.30 petang, 31 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabila Huda Muhammad Nazim dan Haresh Prakash Somiah manakala kesemua tertuduh diwakili peguam K.Simon Murali dan Datuk Joy Appukuttan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 24 penuntut kolej swasta kena angkut polis