24 penuntut kolej swasta kena angkut polis

Penuntut kolej swasta ditahan selepas dikesan bermain bola sepak petang semalam.
Penuntut kolej swasta ditahan selepas dikesan bermain bola sepak petang semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 24 penuntut kolej swasta di Tanjung Bungah di sini ditahan selepas didapati bermain bola sepak di kawasan padang kolej berkenaan di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pada jam 5.30 petang, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai aktiviti kumpulan pelajar berkenaan dan sepasukan polis ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan.

Menurutnya, ketika sampai di lokasi, didapati pintu pagar kolej berkunci dan pihaknya terpaksa menunggu lebih kurang 15 minit sebelum pintu pagar automatik tersebut dibuka.

"Pasukan polis terus ke padang bola sepak yang berada dalam kawasan kolej tersebut dan mendapati seramai 24 orang lelaki sedang bermain bola sepak.

"Pemeriksaan yang dilakukan mendapati kesemua mereka adalah warga tempatan yang merupakan pelajar kolej berkenaan dan tinggal di asrama kolej tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Soffian berkata, kesemua mereka berumur 24 hingga 48 tahun ditahan atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan disyaki dengan cuai melakukan perbuatan yang boleh merebakkan jangkitan penyakit berbahaya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Kesemua mereka dibawa balik ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut dan telah dilepaskan dengan jamin polis.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedang lengkapkan kertas siasatan dan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan pertuduhan," katanya.