'Saya tak kisah musuh nombor 1 atau 10' - Muhyiddin

Muhyiddin menegaskan bahawa beliau langsung tidak terkesan dengan kenyataan Hamzah yang kini menganggapnya sebagai musuh utama.
Muhyiddin menegaskan bahawa beliau langsung tidak terkesan dengan kenyataan Hamzah yang kini menganggapnya sebagai musuh utama.
A
A
A

NILAI - [KEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa beliau langsung tidak terkesan dengan kenyataan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang kini menganggapnya sebagai musuh utama.

Beliau berkata bekas Timbalan Presiden Bersatu itu ternyata telah melanggar perlembagaan parti.

"Saya tak kisah kalau dia kata saya musuh nombor satu atau nombor 10 kerana dulu dia pernah kata penyokong nombor satu saya.

"Bagi saya, dia telah melakukan kesalahan besar. Bukan saja melanggar perlembagaan parti, malah membuat pelbagai tindakan yang bertentangan dengan kepentingan parti, bukan sahaja menyentuh peribadi saya dan atas sebab itu, Lembaga Disiplin mengambil keputusan untuk menyingkirnya," katanya ketika ditemu selepas Majlis Berbuka Puasa Bersatu Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Hamzah sebelum ini yang secara terbuka mengisytiharkan dirinya sebagai musuh nombor satu Muhyiddin.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, dalam Islam semua adalah bersaudara, namun berbeza dalam politik.

Malah, beliau juga tidak berharap apa-apa lagi terhadap Hamzah kerana sudah dipecat daripada Bersatu.

"Saya tak kisahlah walaupun dalam Islam kita ini semua bersaudara, tapi dalam politik kadang-kadang orang tak sokong itu soal dialah," katanya.

Selain itu, ketika ditanya kemungkinan akan ada lagi senarai pemimpin parti yang akan dipecat, beliau berkata tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu kerana ia di bawah urusan Lembaga Disiplin parti.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak tahu kerana urusan itu di bawah Lembaga Disiplin yang mana peraturannya jika ada ahli didapati melanggar perlembagaan atau melakukan sesuatu yang tidak sewajarnya, maka boleh melaporkan kepada Lembaga Disiplin.

"Itu adalah prosedurnya. Lembaga Disiplin apabila menerima laporan akan mengkajinya terlebih dahulu sebelum memanggil individu terbabit atau terus menjatuhkan hukuman," katanya.

Ringkasan AI

  • Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak terkesan dengan kenyataan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menganggapnya sebagai musuh utama
  • Hamzah Zainuddin telah melanggar perlembagaan parti
  • Muhyiddin menyatakan bahawa Hamzah telah melakukan tindakan yang tidak hanya melanggar perlembagaan parti tetapi juga bertentangan dengan kepentingan parti
  • Hamzah telah dipecat dari Bersatu oleh Lembaga Disiplin
  • Muhyiddin tidak mempunyai maklumat tentang kemungkinan pemecatan pemimpin parti lain kerana hal itu adalah di bawah urusan Lembaga Disiplin party

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!