Raja Muda Selangor rasmi Masjid Nurul Iman, jadi perintis tenaga solar

Tengku Amir (tengah) pada Majlis Perasmian Masjid Nurul Iman, Telok Gadong di sini pada Isnin.
Tengku Amir (tengah) pada Majlis Perasmian Masjid Nurul Iman, Telok Gadong di sini pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat merasmikan Masjid Nurul Iman, Telok Gadong di sini yang turut melakar langkah progresif apabila merancang pembangunan sistem solar sebagai usaha menyokong penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan kesan rumah hijau.

Masjid yang menelan kos RM12.4 juta hasil peruntukan kerajaan Selangor itu dibina selama tiga tahun bermula 2016 sebelum siap sepenuhnya pada Januari 2019 dan kini mampu memuatkan 1,500 jemaah dalam satu-satu masa.

Sebagai sebahagian perancangan ke arah kelestarian, sebanyak 65 panel solar berkapasiti 540 watt setiap satu dipasang dengan keupayaan menjana 35.1 kilowatt puncak (kWp).

Sebelum ini, anggaran bil elektrik bulanan masjid itu mencecah RM4,500, namun selepas penyambungan tenaga solar, kos itu dianggarkan berkurang kepada kira-kira RM2,500 sebulan sekali gus memberi penjimatan jangka panjang kepada pengurusan masjid.

Masjid berkenaan menerima kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 14 September 2022 untuk menggunakan sumber tenaga boleh baharu itu sebagai alternatif kepada bekalan elektrik sedia ada.

Dalam majlis sama, Tengku Amir turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 556 asnaf terdiri daripada 188 fakir, 203 miskin dan 165 muallaf dengan setiap penerima menerima RM500, menjadikan jumlah keseluruhan RM278,000.

Baginda turut menerima serahan cek cura Wakaf Korporat daripada Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) berjumlah RM100,000 dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sebanyak RM50,000.

Tengku Amir Shah kemudian berbuka puasa dan menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih 20 rakaat bersama rakyat yang hadir.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Raja Muda Selangor merasmikan Masjid Nurul Iman yang merancang pembangunan sistem solar
  • Masjid tersebut dibina dengan kos RM12.4 juta dari peruntukan kerajaan Selangor dan siap pada Januari 2019
  • Masjid ini mampu memuatkan 1,500 jemaah dan dipasang dengan 65 panel solar
  • Pemasangan panel solar menurunkan anggaran bil elektrik masjid dari RM4,500 ke RM2,500 sebulan
  • Tengku Amir Shah menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 556 asnaf dan menerima cek wakaf bernilai RM150,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!