Kerajaan tiada hasrat hapuskan HRDF: Mahfuz

Mahfuz ketika membuat lawatan JMTI semalam.
Mahfuz ketika membuat lawatan JMTI semalam.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tiada cadangan untuk memansuhkan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) seperti dibangkitkan oleh jawatankuasa pengawasan pentadbiran bebas lima anggota (GOC) institusi itu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebaliknya pihaknya akan memperkasakan pemain industri kecil dan sederhana (IKS) menerusi caruman di dalam HRDF, selaras dengan penubuhannya.

"Saya tak fikir pemansuhan HRDF ini keperluan, sebaliknya ia diwujudkan bagi mempertingkatkan industri. Bagaimanapun, sebahagian daripada IKS kini tidak memanfaatkan caruman dibuat dengan HRDF.

"HRDF diwujudkan bagi mempertingkatkan industri tetapi kini terdapat sebahagian daripada IKS tidak memanfaatkan caruman dibuat dengan HRDF, mungkin mereka mempunyai masalah dan kekangan tertentu," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di Institut Teknologi Jepun-Malaysia (JMTI) di sini semalam.

Sebelum ini media melaporkan, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyifatkan cadangan GOC untuk memansuhkan HRDF sebagai terburu-buru, sebaliknya perlu fokus dalam usaha mendepani Revolusi Industri 4.0.

Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, Mahfuz berkata pihaknya akan mengadakan beberapa dialog dengan pihak industri khususnya IKS untuk bertukar maklumat kerana industri ini perlukan lonjakkan agar ia akan lebih maju pada masa hadapan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mahfuz berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh berhubung tindakan Timbalan Pengarah (Pengurusan Latihan) Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu, Mohamad Hazmi Noordin yang menendang motosikal pelajar sehingga tular di media sosial, Jumaat lalu.

"Kementerian memohon maaf khususnya kepada ibu, bapa dan penuntut serta orang ramai ekoran kejadian terbabit. Ia sangat mengecewakan dan tidak sepatutnya berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Kita sekarang masih lagi menunggu laporan penuh berhubung insiden terbabit daripada Jabatan Tenaga Malaysia (JTM) untuk melihat perkara ini daripada semua aspek sebelum sebarang tindakan lanjut diambil," katanya.