Peniaga lembu dijel 7 tahun, mengaku sebabkan kematian penganggur

MELAKA - Seorang peniaga lembu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang penganggur tanpa niat, 10 tahun lalu.
Tertuduh, M Mahesawaran, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah sebaik pertuduhan pindaan itu dibacakan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian S Manikumar, 35, dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin membawa kepada kematian mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan hutan kelapa sawit berhampiran Empangan Jus, Selandar, Jasin antara jam 10.30 malam pada 22 Mei 2016 hingga 9.50 pagi, 23 Mei tahun sama.
Tertuduh didakwa melakukan homisid salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam memandangkan kes itu melibatkan kehilangan nyawa.
Beliau berkata, hukuman berbentuk pencegahan wajar dikenakan bukan sahaja sebagai pengajaran kepada tertuduh, malah kepada pihak luar agar tidak melakukan kesalahan sama.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, S Daniel merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan empat anak selain isterinya hanya bekerja sebagai tukang cuci.
“Anak guam saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan, menyesali perbuatannya dan pengakuan bersalah itu telah menjimatkan masa mahkamah.
“Tertuduh juga telah direman sejak 3 Mac 2022 dan tempoh tahanan yang panjang itu diyakini memberi keinsafan dan pengajaran kepadanya,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap semula pada 3 Mac 2022.
Mengikut fakta kes, mangsa dilaporkan hilang oleh abangnya pada 23 Mei 2016 selepas tidak pulang ke rumah 22 Mei 2016.
Mangsa dikatakan sempat menghantar khidmat pesanan ringkas memaklumkan dia diserang beberapa lelaki.
Rangka mangsa ditemukan pada 18 Jun 2016, hampir sebulan selepas laporan kehilangan dibuat.
Ringkasan AI
- Peniaga lembu di Melaka dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh kerana menyebabkan kematian penganggur
- Tertuduh, M Mahesawaran, 40, mengaku bersalah menyebabkan kematian S Manikumar, 35, tanpa niat
- Perbuatan dilakukan di kawasan hutan kelapa sawit berhampiran Empangan Jus, Jasin pada Mei 2016
- Dia didakwa melakukan homisid salah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan
- Mangsa dilaporkan hilang sebelum rangkanya ditemukan hampir sebulan selepas laporan kehilangan dibuat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

