Mydin, Sinar Harian anjur Jelajah Iftar 2026



SUBANG JAYA – Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi penganjuran Jelajah Iftar Sinar Mydin 2026 dengan kerjasama Sinar Harian bagi menyantuni masyarakat setempat sempena Ramadan tahun ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, program berbuka puasa secara santai itu akan berlangsung di sembilan cawangan pasar raya berkenaan di seluruh negara bermula 23 Februari hingga 16 Mac depan.
Menurutnya, cawangan yang terlibat ialah Subang Jaya (Selangor), Mutiara Rini (Johor), MITC (Melaka), Seremban 2 (Negeri Sembilan), Bukit Mertajam (Pulau Pinang), Meru Raya (Perak), Tunjong (Kelantan), Jengka (Pahang) dan Sejati Ujana (Sabah).
“Program ini bukan sekadar menyediakan juadah berbuka puasa, bahkan platform memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
“Hasrat meneruskan program ini tidak akan tercapai tanpa sokongan rakan penaja kami yang konsisten menyumbang semula kepada masyarakat antaranya F&N, Nestle, Perap 99, Sunsilk, Tisha's dan Vaseline,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Jelajah Iftar Sinar Mydin 2026 di Mydin USJ, di sini pada Isnin.
Majlis yang dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin.
Sementara itu, Ameer Ali memaklumkan program tahun ketiga tersebut menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 pengunjung dengan setiap lokasi menyantuni lebih 1,000 pelanggan.
Katanya, orang ramai yang ingin menyertai program berkenaan boleh membuat pendaftaran melalui media sosial rasmi Mydin Malaysia.
“Seramai 500 pendaftar terawal di setiap lokasi akan menerima beg percuma tajaan F&N.
“Saya yakin dan percaya setiap kebaikan dan perkongsian pasti akan menambah keberkatan perniagaan kita semua,” ujarnya.
Selain berbuka puasa, jelajah menampilkan pengisian rohani bersama beberapa pendakwah terkenal bagi menyemarakkan suasana Ramadan.
Dalam pada itu, sebagai antara rakan penaja jelajah, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd menjadikan platform inisiatif mendekati komuniti di samping menggalakkan amalan hidrasi sihat melalui minuman 100PLUS ketika berbuka puasa.
Pengarah Pemasarannya, Leong Wai Yin berkata, program juga berperanan mengukuhkan jenama itu sebagai pilihan rakyat Malaysia khususnya dalam momen kebersamaan seperti iftar, di samping meningkatkan keterlihatan jenama di lokasi strategik.
“Kami harap sinergi terjalin diteruskan dalam jangka panjang demi memberikan nilai terbaik kepada rakan niaga dan pengguna.
“Melalui rangkaian pasar raya Mydin yang meluas, program ini mampu menjangkau lebih ramai pelanggan di pelbagai lokasi.
“Sekiranya sambutan memberangsangkan, tidak mustahil kerjasama ini diteruskan dengan lebih banyak aktiviti serta tawaran menarik pada masa depan” katanya.
Sementara itu, Wai Yin turut menyasarkan pertumbuhan jualan menjelang Ramadan dan Syawal.
“Jelajah iftar bersama Mydin dijangka bantu perkukuhkan capaian jenama serta merancakkan jualan melalui promosi secara menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla berkata, Boost Bank meneruskan kerjasama dengan Mydin menerusi meraikan Ramadan dengan menawarkan diskaun dan sumbangan baju raya bersama Mydin.
“Boost Bank memberikan diskaun kepada pelanggan Mydin melalui baucar baju raya bernilai RM10 kepada mereka yang membuka akaun baharu di Boost Bank.
“Pelanggan yang memohon kad debit Boost Bank dan menggunakannya untuk berbelanja turut dapat menikmati pulangan tunai sebanyak dua peratus,” katanya.
Tambahnya, Boost Bank juga menyumbangkan lebih 200 set baju raya kepada penerima sumbangan bersama Mydin di lapan lokasi lain sepanjang Ramadan ini.
“Ia sebahagian usaha kami menjadikan musim Ramadan dan Aidilfitri lebih bermakna dan lebih mampu milik untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Ringkasan AI
- Mydin Mohamed Holdings Berhad meneruskan komitmen CSR melalui Jelajah Iftar Sinar Mydin 2026 dengan kerjasama Sinar Harian
- Program berbuka puasa akan berlangsung di sembilan cawangan Mydin seluruh negara dari 23 Februari hingga 16 Mac
- Tujuan program ialah memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam masyarakat pelbagai kaum
- Seramai 500 pendaftar terawal di setiap lokasi akan menerima beg percuma tajaan F&N
- Jelajah iftar menampilkan pengisian rohani dan dengan kerjasama penaja diharap dapat menjangkau lebih ramai pelanggan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

