Covid-19: Wanita Malaysia di Mesir sembuh, dibenarkan keluar wad

Sehingga semalam, Mesir menyaksikan seramai 779 orang disahkan dijangkiti Covid-19 dan 52 lagi meninggal dunia. Foto: Xinhua
Sehingga semalam, Mesir menyaksikan seramai 779 orang disahkan dijangkiti Covid-19 dan 52 lagi meninggal dunia. Foto: Xinhua
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan dan penduduk Mesir mengesahkan seorang wanita rakyat Malaysia yang positif koronavirus (Covid-19), sembuh dan dibenarkan keluar hospital semalam.

Kementerian dalam satu kenyataan di laman Facebooknya dalam bahasa Arab berkata, wanita itu seorang daripada 22 pesakit yang sembuh, selepas menerima rawatan mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), namun kementerian itu tidak mendedahkan butiran lanjut.

“Bilangan pesakit sembuh dan discaj dari hospital seramai 179 pesakit,” kata kementerian.

Sehingga semalam, Mesir menyaksikan seramai 779 orang disahkan dijangkiti Covid-19 dan 52 lagi meninggal dunia.

Orang berkumpul berhampiran Piramid Khufu diterangi dengan teks 'Kekal di rumah, terima kasih kepada mereka yang menjaga kami' di Giza, Mesir, semalam. Foto: Xinhua
Orang berkumpul berhampiran Piramid Khufu diterangi dengan teks 'Kekal di rumah, terima kasih kepada mereka yang menjaga kami' di Giza, Mesir, semalam. Foto: Xinhua

Sebelum ini Bernama melaporkan, berdasarkan sumber persatuan pelajar Malaysia di Mesir, terdapat seorang penuntut perempuan dari Malaysia dikuarantin di Hospital 15th Of May di Kaherah kerana disyaki mempunyai gejala Covid-19, selepas menjalani ujian saringan di sebuah pusat kesihatan di ibu negara itu baru-baru ini.

Menurut persatuan berkenaan, penuntut wanita itu berusia lingkungan awal 20-an dan sedang mengikuti kursus pengajian Islam di sebuah universiti di Kaherah, dimasukkan ke hospital sejak 22 Mac lalu.

“Kami dimaklumkan pelajar itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar Mesir atau mempunyai kontak dengan individu positif Covid-19,” kata sumber itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: