Lelaki Bangladesh ditahan tiada dokumen, langgar PKP

No Image Caption
A
A
A

KEPALA BATAS - Lima lelaki termasuk seorang warga Bangladesh ditahan selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki Bangladesh tersebut ditahan ketika menaiki sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan pada jam 6 petang di Jalan Bagan Lalang, Mak Mandin.

Menurutnya, bagaimanapun lelaki tempatan tersebut tidak ditahan kerana dia mempunyai dokumen daripada majikan.

"Lelaki Bangladesh tersebut gagal memberikan alasan munasabah untuk tidak berada di dalam kediaman semasa tempoh PKP selain tidak mempunyai sebarang dokumen. Dia direman tiga hari. Sementara itu, seorang lelaki ditahan dalam sekatan jalan raya pada jam 8.30 malam di Paya Keladi.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui sebilah kerambit dan dia gagal memberi alasan munasabah kerana memiliki senjata itu. Pada jam 10.30 malam pula, dua lelaki ditahan di Jalan Ong Yin How, Butterworth kerana enggan beredar walaupun beberapa kali diberi amaran. Semakan mendapati, mereka mempunyai rekod jenayah dan direman dua hari," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki ditahan selepas enggan memberhentikan dan memecut laju motosikalnya di Jalan Permatang Tok Jaya, Sungai Dua.

"Dalam kejadian jam 11 malam itu, lelaki itu enggan memberi kerjasama lalu kita mengejarnya. Setelah berjaya, kita menjalankan pemeriksaan pada badannya namun tiada objek yang melanggar undang-undang. Dia mempunyai lima rekod jenayah dan direman dua hari.

"Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan 7 (1)Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peratusan pematuhan PKP meningkat sejak fasa kedua PKP bermula semalam iaitu hanya lima individu ditahan.