'Jadi jurulatih Manchester United kerja paling sukar dalam dunia bola sepak'

BEKAS pengendali Tottenham Hotspur dan Nottingham Forest, Ange Postecoglou menyifatkan kerusi panas di Manchester United sebagai tugasan paling sukar dalam dunia bola sepak.
Postecoglou, yang dipecat oleh Forest pada Oktober lalu, berkongsi pandangannya mengenai peranan pengurus di kelab gergasi Inggeris itu ketika muncul dalam siaran audio siar, The Overlap.
Sebagai rekod, Michael Carrick telah dilantik membimbing kelab tersebut pada Januari lalu susulan pemecatan Ruben Amorim, dan beliau setakat ini berjaya meletakkan United di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Pada pandangan saya, itu adalah tugas paling sukar dalam bola sepak dunia kerana kelab ini sentiasa diteliti dan tidak henti-henti menjadi tumpuan ramai.
"Ia menuntut seorang individu yang sangat unik untuk mampu mengatasi semua (tekanan) itu, atau mempunyai tahap disiplin yang tinggi untuk bertegas dan berkata bahawa, 'kita akan mengikut laluan ini untuk tempoh beberapa tahun'," katanya.
Terdahulu, Amorim dilucutkan jawatannya di Manchester selepas 14 bulan mengemudi pasukan berikutan kempen memalukan yang menyaksikan mereka sekadar menamatkan saingan di tangga ke-15 EPL bagi musim 2024-25.
Malah, skuad kendalian Amorim turut tewas di pentas final Liga Europa kepada skuad Spurs yang dikendalikan oleh Postecoglou ketika itu.
Mengulas lanjut, bekas pengendali Forest tersebut turut menyentuh soal aspek personaliti yang diperlukan, dan menegaskan bahawa tugas sebagai pengurus United bukan sekadar tentang menang atau kalah di atas padang.
"Agak mustahil untuk mendapat jalan penyelesaian segera di sana. Ia memerlukan seseorang yang bukan sekadar pengurus, malah individu yang mampu berdepan 100 sidang media setiap tahun, menang 10 perlawanan tetapi tewas satu, dan akan dikecam teruk hanya kerana satu kekalahan itu.
"Sejarah lampau kelab akan sentiasa membayangi apa sahaja yang anda lakukan. Ia haruslah seorang individu yang sedia menerima hakikat tersebut dan cukup kuat untuk berkata, 'Saya akan ambil tanggungjawab ini, tetapi saya akan lakukannya dengan cara saya sendiri'," jelasnya.
Dalam pada itu, pihak pengurusan United sehingga kini masih belum mengesahkan status masa depan jangka panjang Carrick di Old Trafford.
Pengendali kelahiran England tersebut ketika ini mengikat perjanjian sementara yang menyaksikannya memegang jawatan pengurus sehingga tamat musim 2025-26.
Ringkasan AI
- Ange Postecoglou menganggap kerusi pengurus Manchester United sebagai tugas paling sukar dalam dunia bola sepak
- Michael Carrick dilantik sebagai pengurus Manchester United pada Januari dan membawa kelab itu ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris
- Ruben Amorim dipecat selepas 14 bulan dengan Manchester United menyudahi saingan di tangga ke-15 EPL musim 2024-25
- Postecoglou menekankan keperluan personaliti unik dan disiplin tinggi untuk menjadi pengurus Manchester United
- Pengurusan United belum mengesahkan status jangka panjang Carrick yang kini berkontrak sehingga musim 2025-26
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
