Budak 9 tahun ditemui penuh lumpur, bapa dipercayai lemas

PONTIAN - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot ketika memancing bersama anak angkatnya di Sungai Parit Bugis, di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa yang berusia 56 tahun dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dan hilang, manakala anak lelakinya, 9 tahun, terselamat.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 8.34 pagi.
Menurutnya, laporan polis telah dibuat dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) sedang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pasukan Polis Marin Wilayah 2.
"Difahamkan bot dinaiki mereka telah melanggar sebatang kayu yang melintang di laluan air sehingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.
"Anak angkat mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada bot dan menyaksikan kejadian tersebut.
“Usaha pencarian sedang diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook, seorang lelaki menemui kanak-kanak lelaki itu dalam keadaan penuh lumpur yang memaklumkan bahawa bapanya dipercayai lemas terjatuh dari bot ketika memancing di sungai berkenaan.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika memancing di Sungai Parit Bugis, Pontian
- Mangsa berusia 56 tahun hilang di sungai manakala anak angkatnya yang berumur 6 tahun terselamat
- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi
- Bot dinaiki mangsa melanggar kayu yang menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai
- Anak angkat mangsa menyelamatkan diri dengan berpaut pada bot dan menyaksikan kejadian tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

