Semua aliran pendidikan, UEC wajib ambil subjek BM, Sejarah dalam SPM - Anwar

PUTRAJAYA -[DIKEMAS KINI] Semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, agama dan aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi langkah berkenaan kontroversi berkaitan isu Bahasa Melayu dan syarat kemasukan ke Universiti Awam (UA) juga tidak lagi berbangkit selepas ini.
"Negara ini telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, maka penguasaan bahasanya bukan sekadar menguasai, tapi harus ditingkatkan.
"Sebab itu kita mulai sekarang menjelaskan tentang keperluan bahasa dan menuntut supaya semua sistem pendidikan dalam negara kita menetapkan dan wajibkan bahasa Melayu mengikut kurikulum kementerian, maksud saya SPM.
"Sama ada di sekolah antarabangsa, ramai anak-anak Malaysia yang di sekolah antarabangsa, tanpa kecuali diwajibkan diwajibkan mengambil ujian bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM," katanya demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sini pada Selasa.
Anwar berkata, di sekolah agama rakyat dan Maahad Tahfiz yang mencecah lebih 400,000 pelajar juga diwajibkan mengambil dua subjek berkenaan.
Jelasnya, perkara itu terpakai juga tentang kontroversi kecil soal UEC biarpun keadaan sudah berubah.
"Justeru jalur mereka untuk pergi ke pendidikan tinggi sama ada dari sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat atau UEC, tidak lagi menjadi kontroversi.
"Kita terima baik asalkan syarat ini diterima. Saya fikir majoriti besar rakyat dari semua kaum, semua daerah setuju dan cuba melaksanakan, termasuk dalam semua sistem pendidikan negara kita.
"Cuma kita nak perkemaskan. Negara ini sudah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Maka penguasaan bahasanya bukan sekadar menguasai, tapi harus ditingkatkan sebagai bahasa lingua franca dan juga bahasa ilmu," katanya.
Ringkasan AI
- Semua sekolah pelbagai aliran diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah untuk SPM
- Langkah ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
- Tujuan utama adalah untuk menyelesaikan kontroversi berkaitan isu bahasa
- Hal ini juga bertujuan untuk menyederhanakan syarat kemasukan ke Universiti Awam
- Pengumuman dibuat semasa Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

