95 peratus peniaga, penjaja di Kuala Selangor patuhi PKP

Rahilah menyampaikan sumbangan makanan dan minuman kepada petugas MDKS yang bertugas di pasar awam daerah ini.
Rahilah menyampaikan sumbangan makanan dan minuman kepada petugas MDKS yang bertugas di pasar awam daerah ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) memberi amaran keras termasuk arahan penutupan premis serta-merta dan pembatalan lesen terhadap mana-mana premis yang didapati gagal patuh arahan kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

MDKS dalam kenyataan melalui Facebook rasminya berkata, pihaknya menerima beberapa aduan awam mengenai ketidakpatuhan beberapa premis yang boleh mengundang kepada penularan jangkitan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, masih ada pasar raya, kedai runcit dan serbaneka yang masih tidak mengamalkan langkah menjarakkan diri sekurang-kurangnya 1 meter apabila berdepan individu lain.

"Kita minta mereka sentiasa mematuhi arahan atau bakal berdepan tindakan penutupan premis serta-merta pembatalan lesen jika masih ingkar.

"Pasar raya, kedai runcit dan serbaneka turut disarankan menjalankan proses nyah kuman di dalam premis sebelum memulakan operasi perniagaan," katanya.

Sementara itu katanya, peniaga dan penjaja di daerah Kuala Selangor mempunyai pematuhan yang tinggi terhadap pelaksanaan PKP fasa pertama iaitu kira-kira 95 peratus, sejak dilaksanakan 18 Mac lalu berakhir Selasa lepas.

Beliau berkata, ia berdasarkan hasil pemantauan dan rondaan secara berkala dijalankan bagi memastikan pihak terlibat mengikuti arahan PKP dalam usaha membantu kerajaan memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19)

"MDKS merakamkan ucapan terima kasih kepada peniaga dan penjaja yang sentiasa mematuhi arahan-arahan semasa yang telah dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"MDKS berharap pematuhan ini berterusan untuk kita sama-sama membendung wabak yang melanda," katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Rahilah Rahmat turun padang menyampaikan makanan dan minuman kepada petugas MDKS yang menjalankan kawalan di pasar awam sekitar daerah ini.