Kilang plastik disyaki proses e-waste diserbu, rampasan bernilai RM1.9 juta

Alzafny dan Abdul Aziz menunjukkan gambar suspek dan hasil serbuan dilakukan.
Alzafny dan Abdul Aziz menunjukkan gambar suspek dan hasil serbuan dilakukan.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah kilang barangan plastik di Senawang di sini diserbu selepas disyaki menjalankan kegiatan memproses sisa elektronik(e-waste) secara haram.

Kilang yang beroperasi sejak 2018 tahun itu diserbu dalam Op Hazard E-Waste yang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan dan Jabatan Alam Sekitar(JAS) Negeri Sembilan, Isnin lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, hasil serbuan terbabit menemui 115.4 tan bahan yang telah dihancurkan menjadi karbon hitam hancur atau Halogenated Polycyclic Aromatic Hydrocarbons (HPA) yang dianggarkan berjumlah RM577,000.

"Kita mengesyaki barangan ini di peringkat awal e-waste, tapi kemungkinan besar ia merupakan suatu bahan sisa plastik.

"Dalam serbuan dilakukan, seramai 12 warga asing termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 50-an yang disyaki bekerja di situ ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka tiada dokumen pengenalan diri yang sah,katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

Turut hadir, Pengarah JAS Negeri Sembilan, Abdul Aziz Parmin.

Jelas beliau, ketika serbuan, pemilik premis iaitu lelaki tempatan berusia 65 tahun tiada di lokasi dan tindakan lanjut akan diambil.

Selain itu katanya, kilang terbabit yang beroperasi sejak November 2018 bukannya kali pertama dikenakan tindakan atas kesalahan sama.

"Pihak JAS memaklumkan yang kilang ini pernah diserbu dan dikenakan tindakan pada Oktober tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Mereka telah pun diarahkan memberhentikan operasi dan melakukan pembersihan, namun hasil aduan serta risikan dilakukan, pihak kilang didapati masih menjalankan aktiviti tersebut," katanya.

Ujar Alzafny, dalam operasi kali ini, JAS telah telah menyita semua barangan termasuk mesin yang digunakan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1.9 juta.

Beliau berkata, kilang berkenaan didapati melakukan kesalahan beroperasi tanpa surat pemakluman di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 dan menjalankan aktiviti basuhan sisa plastik tanpa sistem pengolahan efluen perindustrian di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Pihak JAS telah mengeluarkan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan mengarahkan premis menghentikan operasi serta-merta dan akan memaklumkan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) kerana menjalankan operasi bertentangan dengan permit yang telah dikeluarkan,"katanya.

Tambahnya, pihaknya juga masih menjalankan siasatan lanjut dari mana barangan e-waste tersebut dibawa.

 

Ringkasan AI

  • Kilang barangan plastik di Senawang diserbu kerana disyaki memproses sisa elektronik secara haram
  • Beroperasi sejak 2018, kilang itu telah diserbu sebelum ini dan masih menjalankan aktiviti yang sama
  • Seramai 12 warga asing tanpa dokumen pengenalan diri sah ditahan
  • Pemilik premis berusia 65 tahun tiada di lokasi semasa serbuan
  • JAS menyita barangan dan mesin bernilai RM1.9 juta, kilang beroperasi tanpa pemakluman dan sistem pengolahan efluen perindustrian yang sah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!