Indonesia tidak takut sesiapa - Prabowo

Prabowo. - FOTO: Agensi
Prabowo. - FOTO: Agensi
A
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan negaranya tidak akan gentar dengan tekanan penyedia indeks global, Morgan Stanley Capital International (MSCI) yang sedang mempertimbangkan penurunan status pasaran modal Indonesia.

Menurut laporan CNN Indonesia, Prabowo mendakwa MSCI cuba menakut-nakutkan negaranya menerusi cadangan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasaran saham Indonesia terancam jatuh setaraf Zimbabwe

Pasaran saham Indonesia merosot susulan demonstrasi ganas

GIC, Temasek nafi dalang kejatuhan saham Indonesia

"MSCI mahu menakut-nakutkan kita. Saya hanya mahu katakan kepada MSCI bahawa bangsa Indonesia tidak takut kepada sesiapa dan tidak akan gentar," katanya ketika Mesyuarat Kabinet Penuh di Istana Presiden, Jakarta pada Rabu.

Beliau mengakui Indonesia masih berdepan pelbagai cabaran dan gangguan, namun menegaskan kerajaan tidak akan berputus asa dalam usaha memperkukuh ekonomi negara.

"Kita mempunyai kekuatan, keberanian dan sanggup berkorban. Kita tidak mengenal erti menyerah," katanya.

Prabowo turut menyatakan kesediaan kerajaan melaksanakan langkah penjimatan secara besar-besaran sekiranya diperlukan bagi menghadapi tekanan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Kalau perlu, kita akan melaksanakan penjimatan besar-besaran. Jika perlu lebih berjimat, kita akan lakukannya," katanya.

MSCI pertimbang turunkan status

Terdahulu, MSCI mengumumkan proses rundingan berhubung cadangan menurunkan klasifikasi pasaran modal Indonesia daripada pasaran sedang pesat membangun (Emerging Market) kepada pasaran kendiri (Standalone Market).

Cadangan itu dibuat susulan kebimbangan mengenai ketelusan struktur pemilikan saham dan dakwaan amalan perdagangan saham secara terancang.

MSCI turut berpandangan bahawa pembaharuan yang diumumkan pihak berkuasa Indonesia masih belum menunjukkan kemajuan konsisten atau kesan yang ketara.

Sepanjang proses rundingan, MSCI mengekalkan pembekuan terhadap beberapa perubahan indeks melibatkan saham Indonesia sehingga dimaklumkan kelak.

Keputusan akhir mengenai status pasaran saham Indonesia dijadual diumumkan selewat-lewatnya pada 30 Jun 2027.

Bagaimanapun, cadangan tersebut masih dalam proses penelitian dan belum menjadi keputusan muktamad. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!