Lelaki ditahan curi 43 patung Labubu bernilai lebih RM24,000

MELBOURNE – Seorang lelaki ditahan polis selepas puluhan patung Labubu bernilai A$9,000 (RM24,707) ditemui dalam serbuan di sebuah rumah di barat Melbourne, lapor Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada Rabu.
Menurut kenyataan Polis Victoria, pemeriksaan yang dijalankan menemui 43 patung Labubu termasuk beberapa edisi terhad yang dianggarkan bernilai sehingga A$500 (RM1,372) setiap satu.
Siasatan awal mendapati kesemua patung terbabit dipercayai dicuri dalam empat kejadian rompakan berasingan di sebuah pusat beli-belah di persimpangan Jalan La Trobe dan Swanston sejak Julai lalu.
Lelaki berusia 40 tahun itu kemudian dikenakan empat pertuduhan pecah masuk dan dua pertuduhan mencuri.
Polis Victoria memaklumkan bahawa lelaki terbabit telah dibebaskan dengan jaminan dan dijadualkan hadir ke Mahkamah Majistret Melbourne pada 5 Mei 2026.
Patung Labubu merupakan ciptaan artis kelahiran Hong Kong, Kasing Lung dan dikeluarkan oleh syarikat mainan terkenal dari China, Pop Mart.
Diperkenalkan sekitar tahun 2019, figura tersebut dijual dalam bentuk ‘blind box’ pada harga sekitar AS$20 seunit. Edisi terhad Labubu pula boleh mencecah ribuan dolar di pasaran sekunder.
Labubu dan jenama Pop Mart kini telah menembusi pasaran antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan dan Asia Tenggara.
Selebriti seperti Kim Kardashian dan Lisa (Blackpink) pernah dilihat memiliki figura Pop Mart sekali gus melonjakkan popularitinya di peringkat global.
Pop Mart kini mengendalikan lebih 2,000 mesin layan diri dan kedai fizikal di seluruh dunia.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki ditahan polis di Melbourne kerana mencuri puluhan patung Labubu bernilai RM24,707
- 43 patung Labubu termasuk edisi terhad dijumpai dalam serbuan rumah suspek
- Patung-patung ini dicuri dari empat rompakan berasingan di pusat beli-belah sejak Julai lalu
- Lelaki berusia 40 tahun itu kini menghadapi empat pertuduhan pecah masuk dan dua pertuduhan mencuri
- Patung Labubu, ciptaan Kasing Lung dan dikeluarkan oleh Pop Mart, popular di pasaran antarabangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
