Ibu maut, anak parah dilanggar ketika melintas jalan

GEORGE TOWN - Seorang wanita warga asing maut manakala anaknya cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) ketika melintas jalan di Jalan Sultan Azlan Shah, berhampiran sebuah pusat mencuci kereta di Sungai Dua di sini pada malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam pemandu SUV berusia 57 tahun dalam perjalanan dari rumahnya di Sungai Dua menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu SUV terbabit terlanggar mangsa, wanita berusia 40 tahun bersama anak perempuannya berusia dua tahun yang sedang melintas jalan.
"Akibat pelanggaran itu, wanita berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Rabu
Abdul Rozak berkata, pemandu SUV tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Ringkasan AI
- Seorang wanita warga asing maut dan anaknya cedera selepas dirempuh SUV di Jalan Sultan Azlan Shah, Sungai Dua
- Pemandu SUV berusia 57 tahun dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
- Wanita tersebut berusia 40 tahun bersama anak perempuannya yang berusia dua tahun sedang melintas jalan
- Wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya dikejarkan ke hospital
- Pemandu SUV tidak cedera dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
