ADUN pembangkang terima peruntukan RM30,000: Mukhriz

Mukhriz (tengah) berkata sedemikian pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini petang tadi.
Mukhriz (tengah) berkata sedemikian pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini petang tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Kesemua 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Kedah masing-masing menerima peruntukan RM30,000 untuk membantu penduduk yang terkesan akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata,kesemua mereka menerima peruntukan daripada kerajaan negeri berkenaan melalui pusat khidmat masing-masing bermula hari ini.

Beliau berkata, mereka perlu memastikan penduduk di kawasan masing-masing menerima bantuan sewajarnya susulan pelaksanaan PKP.

"Kita memutuskan untuk memberikan peruntukan RM30,000 kepada 17 ADUN pembangkang bagi membolehkan mereka membantu rakyat di kawasan masing-masing.

"Kita bersikap adil dan prihatin bahawa setiap penduduk pastinya ada memohon bantuan kepada ADUN di kawasan masing-masing," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini petang tadi.

Dalam perkembangan sama, Mukhriz berkata, program Kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) yang sepatutnya sah sehingga Mei depan dilanjutkan selama enam bulan lagi.

Beliau berkata, seramai 4,548 penerima Kad KIDA dapat menggunakannya untuk membeli barangan keperluan asas sehingga RM250 sebulan di kedai terpilih susulan pelanjutan dari Jun hingga Disember 2020 itu.

"Penerima Kad KIDA juga berhak menuntut kos perubatan di hospital swasta sebanyak RM500 maksimum setahun untuk semua ahli keluarga mereka,"katanya.

Artikel Berkaitan: