ADUN pembangkang sokong penyaluran semula peruntukan

Tuan Ibrahim dan Rosli pada sidang akhbar khas berkenaan persidangan DUN dan persiapan menjelang PRN di Pejabat Sekretariat PN,pada Isnin.
Tuan Ibrahim dan Rosli pada sidang akhbar khas berkenaan persidangan DUN dan persiapan menjelang PRN di Pejabat Sekretariat PN,pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Pahang menyokong penyaluran semula peruntukan yang sebelum ini dinafikan kerajaan negeri.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyaluran itu perlu dibuat susulan titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu kerajaan memberikan peruntukan adil kepada ADUN pembangkang.

"Kita rakam penghargaan tinggi (titah) dan secara tidak langsung, satu arahan kepada pihak kerajaan untuk salurkan peruntukan kepada ADUN.

"Ini kerana kami telah dipilih oleh rakyat dan hormati pilihan rakyat," katanya pada sidang akhbar khas berkenaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pejabat Sekretariat Perikatan Nasional (PN), di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan beberapa barisan kepimpinan Pas dan Parti Peribumi Bersatu (Bersatu) Pahang.

Dalam persidangan DUN pada pagi Isnin, Tengku Hassanal menitahkan supaya kerajaan Pahang memberikan peruntukan adil kepada ADUN pembangkang di negeri ini.

Baginda bertitah, kerajaan raikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat dan peruntukan yang adil perlu diberikan kepada mereka.

Tuan Ibrahim juga ADUN Cheka berharap kerajaan Pahang dapat mengambil respon terhadap titah terbabit dengan menyalurkan peruntukan kepada pembangkang untuk pusat khidmat DUN dan pembangunan projek kecil.

Jelasnya, peruntukan tersebut penting terutamanya dalam menyelesaikan kejadian bencana atau sebagainya berlaku di sebuah kawasan.

"Katakanlah, jika berlaku ribut di suatu kawasan, mangsa akan datang ke pusat khidmat, dana perlu disalurkan segera.

“Bukan salur secara terus kepada ADUN, ia disalurkan kepada pejabat daerah, cuma geran sahaja kita minta diserahkan kepada kita. Bukan dalam bentuk wang tunai.

“Tapi semua projek segera itu akan diaudit termasuk peruntukan RM5,000 bagi sumbangan Hari Raya sebelum ini kami sediakan laporan lengkap supaya tidak timbul berlakunya penyelewengan,” jelas beliau.

Sementara itu, Rosli menjelaskan kali terakhir ADUN pembangkang menerima peruntukan dari kerajaan negeri adalah pada 2019 dan 2020 ketika di bawah Muafakat Nasional (MN).

"Ketika itu, kami menerima peruntukan sebagaimana ADUN lain. Namun ia terhenti selepas PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka dan Johor sehinggalah sekarang.

“Kami tidak dimaklumkan secara rasmi mengapa peruntukan itu tidak disalurkan tetapi diberitahu ia disalurkan kepada penyelaras DUN tapi kami tidak tahu siapa penyelaras itu. Justeru dalam sidang dewan ini nanti, kami akan minta pihak kerajaan negeri supaya memberi senarai nama penyelaras itu,” jelas beliau.

Sementara itu, Saifuddin ketika menyentuh tentang PRN akan datang memberitahu, seluruh jentera PN negeri ini bersedia sepenuhnya bagi membantu dan memastikan kemenangan PN di enama negeri terbabit.

“Kami menunggu sahaja apa jua arahan ke mana arah pergi dan akan menggunakan segala kekuatan yang ada bagi membantu memastikan kemenangan PN di semua kerusi,” ujarnya.