Luna dipercayai ada dua kerakyatan - Polis Kelantan

KOTA BHARU - Polis Kelantan tidak menolak kemungkinan seorang wanita berusia lingkungan 30-an dikenali sebagai Luna, yang dipercayai mengetuai sindiket penyeludupan dadah susulan rampasan bunga ganja di Kuala Krai pada 11 Januari lalu mempunyai dua kerakyatan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak berkuasa negara jiran berhubung wanita terbabit.
"Kita masih lagi mengesan Luna dan percaya dia berada di negara jiran. Kita telah pergi ke beberapa rumah di sekitar Kota Bharu namun Luna gagal dikesan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Ahad.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis memburu seorang wanita yang dipercayai ketua sindiket penyeludupan dadah susulan penahanan tiga individu dan rampasan bunga ganja bernilai RM1.82 juta di Kuala Krai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rampasan dadah itu hasil operasi JSJN Bukit Aman selama empat bulan menerusi Ops Agas.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati bunga ganja yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran antarabangsa.
Susulan itu, Bukit Aman memohon bantuan Polis Thailand bagi mengesan 'Luna' tetapi setakat ini belum ada sebarang perkembangan mengenainya.
Wanita terbabit dipercayai berselindung di sebalik perniagaan kedai makan bagi mengaburi kegiatan penyeludupan dadah yang dijalankan.
Ringkasan AI
- Polis Kelantan sedang mencari seorang wanita berusia 30-an dikenali sebagai Luna, yang dipercayai mengetuai sindiket penyeludupan dadah
- Luna dipercayai mempunyai dua kerakyatan dan berada di negara jiran
- Rampasan bunga ganja bernilai RM1.82 juta di Kuala Krai adalah hasil buruan polis
- Bunga ganja yang dirampas dipercayai untuk pasaran antarabangsa
- Polis meminta bantuan Polis Thailand untuk mengesan Luna, yang juga menggunakan kedai makan sebagai tudung kegiatan penyeludupan dadah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

