Covid-19: Dua kematian, 108 kes pulih

Dr Noor Hisham bercakap pada sidang akhbar mengenai situasi semasa penyakit berjangkit Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Noor Hisham bercakap pada sidang akhbar mengenai situasi semasa penyakit berjangkit Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan dua kematian kes koronavirus (Covid-19) dan kes pulih tertinggi dengan 108 telah dibenarkan pulang, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua kes kematian tersebut melibatkan seorang wanita dan lelaki masing-masing berusia 80 dan 62 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

"Bagi kes kematian ke 44, warga emas tersebut mempunyai sejarah kontak rapat kepada kes 115 yang positif Covid-19.

"Dia dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan disahkan meninggal dunia jam 4.30 pagi semalam," katanya.

Menurutnya, bagi kes kematian ke 45, ia melibatkan pesakit yang juga mempunyai kontak rapat kepada pesakit positif iaitu kes ke 486.

"Dia dirawat di HKL pada 17 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 10.46 malam tadi," katanya.

Beliau berkata, seramai 108 pesakit Covid-19 telah pulih keluar, sekaligus menjadikan jumlah tertinggi dibenarkan pulang dalam masa sehari.

"Jumlah kumulatif pulih adalah 645, iaitu 22.2 peratus daripada jumlah kes," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, sehingga jam 12 tengah hari, terdapat 142 kes baharu dilaporkan.

"Ini menjadikan kes positif Covid-19 sebanyak 2,908 kes," katanya.

Sehingga kini, 102 kes positif Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Daripada jumlah itu, 66 (pesakit) memerlukan bantuan pernafasan," katanya.